Thursday, February 25, 2010
Nurmaisarah menghela nafas yang panjang untuk kesekian kalinya, masih mencuba untuk menenangkan jiwanya yang kacau. Sudah berkali-kali Nurmaisarah mencuba.Ternyata kali ini hatinya benar-benar tidak tenang.
"Oh Tuhan...aku ingin menyerah diri padaMu...hilangkanlah resah hati ini..."
Nurmaisarah melafazkan niat solat sunat dua rakaat. Alhamdulillah...kali ini hatinya kuat untuk meneruskan. Kali ini Nurmaisarah berjaya menyerah diri pada Tuhannya. Di keheningan malam, entah mengapa tidurnya terganggu, mata yang letih tak mampu dilelapkan seperti biasa. Mungkin segala yang berlaku siang tadi masih menghantui fikirannya. Masakan tidak, impian yang cuba dibina bertahun lamanya, akhirnya terlerai jua. Sungguh... Nurmaisarah tidak pernah merancang sebegini, jauh sekali berdoa untuk penghujung yang turut mencalarkan hati kecilnya. Fahrin...lancang sungguh mulut Nurmaisarah menutur kata, hingga hati lelakimu terluka.
"Ini kali terakhir kita bercakap. Saya maafkan setiap kesalahan awak pada saya dan saya halalkan segala yang saya berikan pada awak sepanjang perkenalan kita. Jangan sesekali awak pulangkan. Ini yang awak inginkan. Semoga awak akan bertemu dengan orang yang boleh faham diri awak, fikiran awak dan hati awak. Selamat tinggal, Nurmaisarah..." Kata-kata Fahrin masih terngiang seperti bisikan berbisa di telinga
Nurmaisarah. Seminggu telah berlalu, ternyata sukar untuk memaafkan kesalahan sendiri. Berkali-kali Nurmaisarah cuba memujuk hatinya agar pasrah menerima segalanya. Namun jauh disudut hatinya menyesali apa telah berlaku. Hanya kerana emosinya yang tidak stabil tika itu, dia tega menyakiti hati insan yang amat disayangi. Hanya kerana dikuasai rasa marah, dia tega membiarkan hubungan yang telah lama terjalin, terlerai begitu sahaja. Telah banyak dugaan ditempuhi bersama, mengapa kini Nurmaisarah sendiri rela melepaskan? Sungguh dia masih tidak tahu...dia tidak mengerti... Ingin sekali dia merayu pada kasih yang terkubur, mungkin bisa bertapak kembali. Namun, entah dari mana datangnya suara kecil yang menghalang.
"Biarkan takdir menentukan segalanya. Yakinlah pada jodoh yang Dia tentukan. Jangan disakiti hatinya dan hatimu lagi. Andai dia adalah jodohmu, kalian akan tetap bersatu. Andai dia bukan untukmu,setidak-tidaknya hati kalian tidak sakit tika menghadapi perpisahan nanti. Percayalah pada ketentuan Tuhanmu." Hati kecilnya berbisik tatkala terdetik dilubuk hatinya untuk menjalin semula kasih yang terputus. Nurmaisarah tahu dia harus kuat untuk hadapi segalanya dan dia berserah segalanya pada ketentuan Tuhan yang Maha Mengetahui...
***
"Mai, masih terlalu awal untuk kita berkahwin. Kan kita rancang dua tahun lagi? Kenapa tiba-tiba nak cepatkan?"Fahrin hairan memikirkan sikap Nurmaisarah yang tiba-tiba sahaja mengajaknya berkahwin secepat mungkin. Bukan dia tidak ingin menikahi wanita itu, malah Nurmaisarah adalah satu-satunya wanita yang bertakhta dihatinya. Menikahi Nurmaisarah juga adalah impian dan keinginannya. Malah kini, dia merasa tidak lengkap tanpa kehadiran Nurmaisarah. Sungguh dia menyayangi wanita itu...
"Apa bezanya dua tahun lagi dan sekarang? Dah lama kita berkawan macam ni. Mai tak selesa. Dan Mai takut...kalau-kalau kita tak ada jodoh... Mai takut kita sama-sama sakit hati. Cubalah faham..." Nurmaisarah cuba menahan emosi. Dia ingin berbincang secara tenang dengan Fahrin. Perkara ini sangat penting dalam hidupnya, dan dia telah lama memendam rasa takut ini...
"Mai masih belajar. Fahrin tak nak perkahwinan mengganggu pelajaran Mai nanti. Banyak tanggungjawab yang perlu dipikul bila dah berkahwin. Kerja dulu...itu kan apa yang keluarga Mai mahukan? Itu juga yang kita sama-sama rancangkan... Dua tahun je Mai..."
"Apa bezanya dua tahun lagi dan sekarang? Dah lama kita berkawan macam ni. Mai tak selesa. Dan Mai takut...kalau-kalau kita tak ada jodoh... Mai takut kita sama-sama sakit hati. Cubalah faham..." Nurmaisarah cuba menahan emosi. Dia ingin berbincang secara tenang dengan Fahrin. Perkara ini sangat penting dalam hidupnya, dan dia telah lama memendam rasa takut ini...
"Mai masih belajar. Fahrin tak nak perkahwinan mengganggu pelajaran Mai nanti. Banyak tanggungjawab yang perlu dipikul bila dah berkahwin. Kerja dulu...itu kan apa yang keluarga Mai mahukan? Itu juga yang kita sama-sama rancangkan... Dua tahun je Mai..."
"Tapi..." Ternyata emosi Nurmaisarah tidak mampu dikawal lagi.
"Kalau ada jodoh tak ke mana kan... Mai yang ajar Fahrin semua tu. Lagipun, Mai tahu macam mana keluarga Fahrin kan? Fahrin ada tanya ibu pasal ni..."
"Apa katanya?"Belum sempat Fahrin menghabiskan kata-katanya, Nurmaisarah bersuara. Pendapat ibu Fahrin...tentu saja penting untuknya.
"Ibu sependapat dengan saya. Masih terlalu awal untuk saya berumah tangga."
"Terlalu awal atau keluarga awak tak boleh terima saya? Ibu awak minta tunggu setahun, dua lagi kan? Supaya dia boleh terus cari calon isteri untuk awak. Am i right?" Air mata Nurmaisarah sudah mula bergenang, menunggu waktu untuk jatuh.
"Ibu saya bukan macam tu."
"Awak sebagai anak takkan berburuk sangka pada ibu awak sendiri. Dan disebabkan itu, awak takkan nampak apa yg mata saya nampak dan tak rasa apa yang hati saya rasa. Awak boleh fikir apa sahaja tentang saya. Keluarga awak tak boleh terima saya atas sebab yang tak munasabah. Itulah perkara yang paling tak masuk akal yang saya pernah dengar. Awak akan fikir saya salah. Saya tak patut fikir macam ni...dan macam-macam lagi. Satu hari awak akan sedar kata-kata saya betul. Ibu awak bukan halang awak berkahwin sekarang tapi halang awak berkahwin dengan saya..."Fahrin...cubalah faham ketakutan dalam hatiku ini...
***
Suasana di Dewan Besar, Universiti Putra Malaysia kembali meriah dengan kehadiran mahasiswa mahasiwi baru. Baru tiga hari lepas, para ibu bapa menghantar anak masing-masing dengan harapan yang menggunung tinggi agar anak kesayangan menjadi insan yang berguna di hari muka. Malam ini, Majlis Bersama Menteri..agak suram, hanya kekadang gamat dengan satu demi satu pertanyaan dari pelajar. Tidak di sangka, ada juga yang tidak berpuas hati dengan sistem pendidikan di negara ini, contohnya Program Matrikulasi KPM yang dimonopoli oleh pelajar bumiputra. Ahmad Fahrin, seorang pelajar baru dalam jurusan Sains Komputer pengkhususan dalam Kejuruteraan Perisian, tetap jua termangu di situ. Fahrin bersama ramai lagi pelajar terpaksa duduk di atas lantai lantaran kekurangan kerusi dan ruang di dalam dewan. Tiada apa yang menarik dipandangan Fahrin kini. Sedari tadi asyik ber'sms' dengan rakan karibnya Jaya, sedang merancang untuk tidak mengikuti program orientasi esok hari.
"Fahrin...tengok la tu. Cun sey..." Suresh tiba-tiba menyapa.
"Mana?" Serentak itu Fahrin melihat seorang gadis berwajah lembut, keibuan. Cantik... gadis berbaju kurung dan bertudung kuning serta skaf UPM berwarna merah ternyata menarik perhatian Fahrin. Entah mengapa wajah lembut gadis itu membuat matanya terpaku. Bukan pada kecantikan lahiriah, bukan jua pada kemanisan senyuman tetapi pada seraut wajah yang bercahaya. Fahrin dapat melihat keindahan dalaman pada gadis yang tidak dikenalinya itu. Gelak tawanya tidak seperti gadis-gadis yang sering dihampirinya, masih terkawal dengan kesopanan. Kesopanan...sungguh payah dicari dalam diri insan bergelar wanita pada masa ini. Namun layakkah aku mendapat gadis sebaik impianku...tanya Fahrin lantas menundukkan pandangannya.
***
"Fahrin! Apa yang ko tengok ha?" Amy, atau nama penuhnya Amy Elyana, teman sekuliah Fahrin yang sebenarnya pernah dikenalinya semasa sama-sama menghadiri seminar SPM dua tahun lalu. Meskipun penampilan Amy sangat berbeza kini, namun ternyata mata Fahrin mampu mengenalinya. Entah mengapa Amy berubah dari seorang gadis sopan bertudung labuh, kepada gadis yang bukan sahaja lenyap tudungnya tetapi berpakaian sungguh menggairahkan. Mungkin Amy hanya berpakaian sopan kerana bersekolah agama, dan kini dia bebas memilih jenis pakaian yang akan disarungkan ke tubuhnya. Namun Fahrin tidak pernah kisah tentang semua itu. Baginya itu hak individu. Tentu Amy ada alasan tersendiri. Fahrin berkawan dengan sesiapa sahaja yang ikhlas bersahabat dengannya. Ternyata Amy seorang yang baik hati, tak lokek untuk memberi pertolongan andai Fahrin meminta bantuan. Selagi Amy setia pada persahabatan yang dibina, Fahrin tidak akan pernah menolak.
"Takde apa la... Kau tau tak, ada sorang girl yang aku ushar masa orientasi. Tup..tup...dia satu course dengan kita..."
"Ha...saper?"
"Nama dia Nurmaisarah... Budak tu 'nerd' la..."
"Hoo...ko suka budak nerd rupanya... yang mana satu nih?"Amy sendiri tidak menyangka, Fahrin yang perangai macam budak nakal tu boleh suka pada perempuan yang 'nerd'.
"Kalau ko pandai, ko cari la sendiri... jangan mimpi la aku nak bagitau ko..."
"Hampeh la ko nih... Aku jumpa minah tu aku bagitau dia, ko minat kat dia..." Bagus la...bisik hati Fahrin.
***
Tidur Nurmaisarah terganggu lagi. Sejak kebelakangan ini memang payah untuk Nurmaisarah melelapkan mata. Hanya sesekali jika tubuh terasa letih amat, tidurnya akan nyenyak. Mungkin kerana sudah menjadi kebiasaan Nurmaisarah bercakap dengan Fahrin sebelum tidur, meskipun hanya untuk beberapa minit, Fahrin tidak pernah jemu menghubungi dirinya. Kadang kala risau jua Nurmaisarah, kalau-kalau timbul rasa jemu dihati lelaki kesayangannya. Mak su pernah nasihatkan supaya jangan selalu berjumpa atau terlalu kerap ber'sms'. Katanya lelaki mudah merasa jemu. Namun lain pula untuk lelaki bernama Fahrin, sejak hari pertama tak pernah jemu bercakap, ber'sms' dan bersua dirinya. Nurmaisarah bangkit dari perbaringan. Niatnya ingin mengambil wudhu dan bersolat sunat dua rakaat. Telah menjadi kelaziman Nurmaisarah bangkit di tengah malam. Kalau pun bukan untuk bersolat sunat, dia perlu bangun jua untuk mengulangkaji pelajaran ataupun untuk bersahur kerana puasa sunat hari Isnin dan Khamis telah menjadi kebiasaan Nurmaisarah. Belajar di waktu awal pagi sebegitu padanya lebih baik dari berjaga tengah malam hingga pagi. Sesekali memang Nurmaisarah terpaksa jua tidak tidur semalaman, terutama untuk siapkan tugasan yang perlu dihantar keesokan harinya. Salah satu tabiat buruk Nurmaisarah adalah selalu menyiapkan tugasan pada saat-saat akhir. Berulang kali Nurmaisarah cuba membuang tabiat buruknya itu, namun hingga kini tidak berjaya.
Nurmaisarah membuka pintu biliknya dan ingin terus ke bilik air. Namun langkahnya terhenti tatkala terdengar suara esakan dari ruang tamu rumah sewanya. Nurmaisarah mengalihkan langkahnya ke arah suara itu. Ternyata teman serumahnya sedang teresak-esak menangis di atas sofa. Suraya, teman serumahnya itu sememangnya mempunyai masalah peribadi yang Nurmaisarah sedia maklum.
"Sue...kenapa nih? Bergaduh lagi?" Nurmaisarah memeluk Suraya, mencuba untuk menenangkan hati Suraya yang tidak keruan.
"Mai...aku tak tahu apa yang patut aku buat lagi. Kenapa dia mesti cari aku lagi? Dah banyak kali aku cakap kat dia yang aku tak nak jumpa dia lagi... Kenapa susah sangat dia nak faham?" Nurmaisarah tahu siapa 'dia' yang Suraya maksudkan.
"Sabar Sue... Apa yang dia cakap kat kau?"
"Dia nak terus jumpa aku. Dia nak aku layan dia macam biasa. Dia cakap dia takkan lepaskan aku. Apa aku nak buat ni, Mai?" Suraya ternyata amat tertekan dengan kedegilan Fendi, lelaki yang terlalu mementingkan diri sendiri. Salahkah Suraya mencari kebahagiaannya sendiri jika Fendi bukan tercipta untuknya?
"Jangan layan dia lagi. Kalau aku ditempat kau, aku takkan pedulikan dia lagi. Takkan jawab sms atau call dia... Biarkan dia. Dia akan berkahwin tak lama lagi. Tinggal lagi sebulan kan? Jangan pedulikan dia..."
"Aku dah cuba, Mai...tapi aku tak sampai hati tengok dia sedih. Dia terpaksa Mai...aku tahu dia terpaksa berkahwin dengan perempuan tu."
"Terpaksa? Kenapa terpaksa? Kau tahu?"
"Tak...aku tak tahu... aku...aku dapat rasa yang dia tak gembira dengan perkahwinan ni."
"Tu cuma perasaan kau,Sue. Dia yang buat keputusan untuk berkahwin dengan orang lain. Kalau betul dia sayangkan kau, dia akan berusaha untuk bersama kau. Dia tamak, Sue...dia mahukan kedua-duanya tanpa fikirkan perasaan dua wanita yang tersepit di tengah-tengah. Lupakan dia, Sue..."
"Aku tak cukup kuat Mai. Aku tak mampu... susah sangat!"
"Cari kekuatan dalam diri kau. Dekatkan diri pada Allah kerana Dia akan beri kau kekuatan. Percayalah..."
"Kenapa aku diuji begini,Mai? Kenapa?"
"Kerana Allah sayangkan kau. Dan Dia tahu kau cukup kuat untuk hadapi semua ni. Jangan sesekali salahkan takdir."
"Ye...aku tahu. Aku akan cuba, Mai. Terima kasih sebab dengar masalah aku. Tak sudah-sudah aku bebankan kau."
"Takde susahnya... kau kan kawan aku. Takkanlah aku sanggup biarkan kau sedih. Kau pun selalu tolong aku kan..." Tersenyum Suraya mendengar kata-kata Nurmaisarah. Tenang sikit hatinya. Nurmaisarah memang pandai memujuk dan menasihatinya. Meskipun Suraya lebih tua dua tahun dari Nurmaisarah, namun Nurmaisarah lebih matang dalam menghadapi hidup. Lebih tenang dalam kepayahan.
"Kenapa kau bangun nih? Tak boleh tidur?"
"Hm...macam biasalah. Dah lewat ni. Baik kau tidur dulu, esok kan kerja... lain la macam aku ni,student...haha"
"Banyak la kau punya student! Dah la aku tidur dulu." Suraya berlalu ke biliknya. Tinggal Nurmaisarah merenung ke luar tingkap. Satu keluhan berat dilepaskan. Misi berjaya...bisik hati Nurmaisarah sambil mengukir senyuman dan terus mengatur langkah untuk menjalankan misinya yang tergendala sebentar tadi. Misi untuk menenangkan hati sendiri..
***
Suasana Perpustakaan Sultan Abdul Samad, UPM senyap seperti kebiasaannya, meski para pelajar kian ramai mengulangkaji. Ada yang belajar sendiri, tak kurang yang mengulangkaji dalam kumpulan. Cepat benar masa berjalan, sudah setengah semester Nurmaisarah bergelar mahasiswi di UPM. Belajar di aliran komputer bukanlah minatnya yang sebenar, namun Nurmaisarah pasrah menerima. Salahnya juga tidak memohon bidang yang diminatinya iaitu matematik. Nurmaisarah tidak pernah merasakan susah mampelajari subjek itu. Sejak di bangku sekolah lagi otaknya sentiasa ligat dengan angka. Matematik amat menyeronokan..kadang kala agak susah,namun kesusahan itulah cabaran dan cabaranlah yang menambahkan lagi minatnya pada subjek itu. Namun entah di mana silapnya, Matematik tiada dalam senarai kursus-kursus yang dimohon semasa di matrikulasi. Mungkin ada hikmahnya. Berada di aliran komputer bukanlah sesuatu yang asing buat Nurmaisarah. Abangnya sendiri pelajar aliran berkenaan. Meskipun tanpa minat yang mendalam pada bidang komputer, Nurmaisarah telah jatuh cinta pada salah satu subjek yang wajib di ambilnya iaitu pengaturcaraan komputer. Mungkin kerana banyak menggunakan logik akal, sama dengan matematik, cepat sekali otak Nurmaisarah menangkap setiap pelajaran yang disampaikan oleh pensyarahnya. Sementelah, pensyarah yang mengajarnya sangat baik, walaupun garang namun sedia membantu Nurmaisarah dan rakan-rakan setiap masa. Mengenangkan semua itu, Nurmaisarah tidak lagi bimbang tentang masa depannya kelak, tidak terlintas dibenaknya untuk menukar kursus.
Memasuki minggu kelima semester pertama 03/04, semua pelajar sedang sibuk menghadapi ujian satu. Ada yang sibuk mengulangkaji, tak kurang juga yang masih leka dengan kehidupan masing-masing. Fahrin berjalan keluar dari bangunan kolej kediaman ke-12. Niat hatinya ingin menenangkan fikirannya yang kusut. Saban hari Fahrin mengulangkaji pelajaran. Pelik tetapi benar. Fahrin sudah mula berminat untuk belajar. Tidak seperti zaman persekolahannya dulu. Saban hari dihabiskan dengan melepak, ponteng sekolah. Keputusan peperiksaannya jarang sekali tidak berwarna merah. Pernah satu ketika gurunya sendiri menyatakan Fahrin tidak mungkin akan menjejakkan kaki ke universiti. Namun, ternyata usahanya yang tidak seberapa ketika menduduki peperiksaan SPM dulu membuahkan hasil hingga melayakkan Fahrin ke matrikulasi dan seterusnya menjejakkan kaki ke universiti kini. Sukar dipercayai, namun itulah realitinya. Hidup ini penuh dengan kejutan yang kadang kala di luar jangkaan pemikiran kita. Fahrin bersyukur.
Nurmaisarah...tetiba hati Fahrin terdetik. Mengingati gadis bernama Nurmaisarah, Fahrin tersenyum sendiri. Rakan sekelas yang sering berjaya mencuri pandangan matanya. Entah apa istimewanya Nurmaisarah hingga hati dan fikiran Fahrin tak pernah berhenti memikirkannya. Cantik....memang cantik tetapi ramai yang lebih cantik pernah menjadi tatapan mata Fahrin. Pandai bergaya...tak jugak, Nurmaisarah terlalu bersahaja dalam berpakaian, berbaju kurung hampir setiap hari tanpa secalit mekap di wajahnya. Bijak...tentu saja bijak, kalau tidak masakan layak ke menara gading. Entahlah...tanpa sebab, Fahrin ingin terus bersua gadis itu.
Maisarah awk ktner? dah abih study?
Sms ringkas terus saja dihantar kepada Nurmaisarah.
Assalammulaikum....
sy kat lib. ngah study la nih... xabis2 lg...
Library? Ish...takkan nak pergi library kot. Tak pernah-pernah aku pergi situ.
awk kat lib ngan saper? kiter study sama blh?
Ops...dah terhantar. Entah boleh ke tidak...
sorang jer... dtg la... kat blok A tau.
Yes!!! Fahrin...study la...
bersambung...
penajannah
...takkan berhenti menari!!!
0 comments:
Post a Comment