Marahlah...

Sunday, February 21, 2010


Akar nibong meresap,
Akar mati dalam perahu,
Terbakar kampung kelihatan asap,
Terbakar di hati siapa yang tahu

Marah adalah petanda kita memiliki perasaan. Namun, kita harus berhati-hati kerana amarah itu bagaikan api yang marak nyalanya. Api bisa membakar apa saja, mungkin akan ada hati yang terbakar, siapa yang tahu.

Perasaan marah sering dikaitkan dengan perkara negatif. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Fath ayat 26, yang bermaksud:
(Ingatlah dan kenangkanlah ihsan Tuhan kepada kamu) ketika orang-orang yang kafir itu menimbulkan perasaan sombong angkuh yang ada dalam hati mereka (terhadap kebenaran Islam) – perasaan sombong angkuh secara Jahiliah (yang menyebabkan kamu panas hati dan terharu), lalu Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman (sehingga tercapailah perdamaian), serta meminta mereka tetap berpegang kepada kalimah takwa, sedang mereka (di sisi Allah) adalah orang-orang yang sangat berhak dengan kalimah takwa itu serta menjadi ahlinya. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Ternyata Allah SWT mencela keangkuhan golongan kafirun terhadap golongan yang beriman yang mana ia timbul akibat kemarahan mereka terhadap ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW. yang telah menyerang institusi keagamaan, masyarakat dan sosial mereka.

Sementara Allah SWT memuji sifat tenang dan tenteram yang dikurniakan pada golongan mukminin.

Terdapat 3 jenis manusia berkaitan dengan sifat marah:

Pasif- Orang yang tiada perasaan marah, hilang dari dirinya sifat marah.

Manusia jenis ini sama sekali tidak memiliki sikap pembelaan terhadap kebenaran. Dia tidak terasa tersinggung apabila agamanya diinjak-injak oleh musuh-musuh Islam. Sedangkan Rasulullah s.a.w. yang terkenal dengan sikap tawaduk tetap mempertahankan maruah agama dengan menentang musuh-musuhnya sekiranya perlu.

Firman Allah SWT:

Nabi Muhammad (SAW) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). (al-Fath: 29)

Golongan jenis ini juga apabila terjadi perlanggaran terhadap kehormatan diri mahupun ahli keluarganya maka dia akan menghadapinya dengan sikap yang penuh kebaculan dan terlalu merendah diri. Sedangkan Islam melihat perlunya sikap cemburu demi untuk melindungi kehormatan ahli keluarganya.

Rasulullah SAW. bersabda:

Sesungguhnya dia (Sa’ad) adalah seorang yang kuat cemburunya dan saya adalah lebih kuat cemburunya (berbanding dengan Sa’ad), dan Allah adalah lebih cemburu lagi daripada saya (iaitu sekiranya Dia melihat hamba-Nya melakukan perbuatan maksiat). (Riwayat Muslim)

Jelas di sini sifat tafrith atau langsung kehilangan sifat marah adalah tercela di sisi syarak.

Agresif -Orang yang pemarah, baran, tidak mampu dikawal oleh akal dan agama, hilang kewarasan diri ketika marah.

Golongan seperti ini akan berteriak dengan suara yang kuat serta mengeluarkan kata-kata kasar lagi kesat. Ada kalanya sehingga menyebabkan terjadinya pukul-memukul ataupun amukan yang dahsyat sehingga terjadi pertumpahan darah.

Marah yang tidak dapat dikawal juga dapat membentuk perasaan dendam, benci dan dengki sehingga mendorongnya untuk melakukan pembalasan terhadap orang yang dimarahinya. Disebabkan buruknya akibat sifat marah yang melulu ini maka Rasulullah SAW amat menitikberatkan agar perasaan itu dikawal dengan baik.

Apabila seorang sahabat meminta nasihat daripada Baginda s.a.w, lantas Baginda bersabda: Jangan marah. Kemudian sahabat tersebut mengulangi permintaannya untuk mendapatkan nasihat. Sekali lagi baginda menjawab: Jangan marah. (Sahih al-Bukhari, hadis no: 6116).Allah juga memuji mereka yang dapat mengawal perasaan marah melalui firman-Nya dalam surah Ali-Imran:133-134).

Moderet -iaitu pertengahan, orang yang dapat mengawal perasaan marah menggunakan akal dan agama.

Mereka tidak menghilangkan sikap marah secara total tetapi hanya akan marah dalam situasi yang bersesuaian. Akal juga masih menguasai dirinya dan mereka sentiasa mengikuti batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Tidak semua sifat marah itu dilarang, ada kalanya wajib kita marah, terkadang diharuskan kita marah. Sifat marah dari sudut hukum boleh dibahagikan kepada tiga bahagian:

Marah yang dipuji

Perasaan marah dituntut apabila berlakunya pencabulan dan perlanggaran terhadap larangan-larangan Allah SWT. Sifat ini adalah hasil dari keimanan yang kuat terhadap Allah SWT kerana orang yang tidak marah terhadap pencabulan dan pelanggaran larangan Allah dianggap sebagai orang yang lemah iman.

Sabda Rasulullah SAW, bermaksud:
Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia ubah dengan tangan (kekuasaan) sekiranya tidak mampu ubah dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu juga maka ubah dengan hati, itulah selemah-lemah iman.
Sikap untuk mengubah, menegur atau rasa tidak suka tidak akan timbul pada diri seseorang sekiranya tidak ada perasaan marah terhadap sesutau perkara. Kecantikan Islam dalam marah ialah apabila kira dapat mengurus sifat marah dengan cara hikmah dan bijaksana bukan dengan cara mengikut perasaan dan nafsu seperti memaki hamun, mencerca, memukul atau tidakan-tindakan yang negatif.

Marah yang dicela

Marah yang dilarang dan dicela ialah apabila marah terhadap pelaksanaan perintah Allah SWT atau marah yang didorong oleh perasaan dan hawa nafsu seperti marah dan tidak suka dengan pelaksanaan hukum-hukum Allah SWT, marah dengan usaha dakwah, marah dengan pelaksanaan syiar Islam dan lain-lain.

Sifat marah dalam kategori ini dicela dan dilarang kerana ia adalah sifat orang-orang kafir yang sentiasa tidak suka dan tidak senang apabila orang mengamalkan dan menghayati Islam.Mereka nenunjukkan perasaan mereka dengan menunjukkan rasa marah apabila ajaran-ajaran Islam diamalkan dalam kehidupan manusia.

Marah yang diharuskan

Marah yang diharuskan ialah marah yang tidak melanggar perintah Allah SWT dan tidak melampaui batasan. Sebab itulah orang yang dapat mengawal perasaan ini disukai oleh Allah SWT. seperti marah apabila tidak tahu perkara yang sepatutnya diketahui, marah apabila tidak melakukan pekerjaan dengan baik dan lain-lain.

Kesimpulannya wajib marah apabila hak Allah dilanggar, haram marah apabila hak-hak agama dilaksanakan dan harus marah pada perkara-perkara berkaitan kehidupan dengan syarat tidak melampaui batasan dan berakhlak bertujuan untuk memperbaiki kekurangan yang ada.


Cara mengatasi marah dalam Islam ialah:

1. Mengubah Posisi - Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang di antara kamu marah, dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring.” (Riwayat Muslim)

2. Berwuduk - Rasulullah SAW bersabda: “Marah itu datangnya daripada syaitan, dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk” (Hadis Riwayat Abi Daud) .

3. Minum air.

4. Mendiamkan diri ketika marah.. banyakkan istighfar di dalam hati.

5. Berlindung kepada Allah daripada syaitan.

6. Meluahkan perasaan dan masalah dalam keadaan masa dan tempat sesuai.

7. Berfikiran positif.

8. Belajar menyampaikan kemarahan secara positif dan terhormat; elakkan daripada memekik atau bertindak garang.

9. Bawa bertenang seperti menarik nafas.

10. Senyum kerana senyuman mampu meredakan tekanan.

Wallahu wa'lam...

penajannah...
...takkan berhenti menari!!!

0 comments:

 
penaJannah - Templates para novo blogger