Showing posts with label Cerpen. Show all posts
Showing posts with label Cerpen. Show all posts

Wangian Kasturi part 2

Sunday, June 5, 2011

Waktu berlari laju. Sebulan telah berlalu. Akmal tidak lagi bersedih dengan pemergian ibunya. Akmal ingin menjadi lebih tabah. Meski tanpa ayah dan ibu, Akmal tetap meneruskan persekolahan. Akmal mendapat biasiswa dari pihak sekolah sejak di tingkatan satu lagi. Sementelah, Akmal pelajar pintar yang sering mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Tahun ini, Akmal akan menduduki peperiksaan PMR. Pihak sekolah terutama guru-guru, menaruh harapan yang tinggi padanya. Akmal bersyukur, masih ada insan yang ingin membantu yatim piatu sepertinya.

“Akmal, nenek ingin sampaikan sesuatu, pesanan dari arwah ibu Akmal.” Nenek Salmah tiba-tiba mengunjunginya petang itu.

“Pesanan arwah ibu?”

“Begini. Ibu Akmal pernah bercerita pada nenek tentang keluarganya.”

“Keluarga arwah ibu masih ada? Ibu tak pernah bercerita tentang keluarganya. Akmal sangkakan, ibu juga anak yatim seperti arwah ayah.”

“Ibu Akmal terpisah dari keluarganya setelah bernikah dengan ayah Akmal. Perkahwinan mereka tidak direstui nenek Akmal.”

“Kerana arwah ayah anak yatim piatu? Miskin?”

“Ya, Akmal.”

“Sampai hati mereka membuang ibu, menghina ayah. Berdosakah menjadi yatim piatu? Hina sangat menjadi miskin?”

“Akmal, sabarlah. Perkara itu sudah lama berlalu. Ibu Akmal berpesan supaya mencari keluarga ibu Akmal, iaitu nenek Akmal.”

“Ha?! Tidak nek. Untuk apa Akmal mencari mereka? Mereka tidak pernah mencari Akmal. Tidak pernah tahu kewujudan Akmal. Akmal tak mahu dihina seperti ayah. Akmal kan yatim piatu, miskin pula.”

“Akmal darah daging mereka. Tak mungkin mereka menghina Akmal.”

“Biarlah Akmal fikirkan dulu.”

“Dalam sampul surat ni ada alamat rumah nenek Akmal.” 

*********************************************************************************************************

Akmal terpaku di hadapan rumah banglo dua tingkat. ‘Rumah ke istana ni?’ bisik hati Akmal. Setelah lama berfikir, Akmal akhirnya akur pada pesanan terakhir ibunya. Sampul surat yang diberi nenek Salmah mengandungi alamat dan sekeping gambar keluarga yang besar. Ibunya berada paling dekat dengan wanita tua. ‘Mungkin itulah neneknya.’


“Ibu Akmal anak bongsu daripada tiga beradik. Akmal ada seorang ibu saudara dan seorang bapa saudara. Kedua-duanya telah berkahwin dengan pilihan nenek Akmal. Hanya ibu Akmal yang tidak mendengar kata, memilih untuk berkahwin dengan ayah Akmal.” Akmal meneliti gambar digenggamannya. Satu demi satu wajah direnungnya. ‘Ini keluargaku. Ibu, adakah mereka akan menerima Akmal?’

“Ye. Anak cari siapa?” Lelaki, mungkin sebaya ayahnya, berpakaian seragam pengawal keselamatan. Wajahnya garang, namun tutur katanya tetap lembut.

“Ini rumah Puan Salbiah kan? Saya nak jumpa Puan Salbiah.”

“Anak ni siapa?”

“Saya cucu dia, anak Suhanah, anak bongsu Puan Salbiah.”

“Anak Hanah dengan Hakim? Subhanallah…”

“Pak cik kenal mak dan ayah?”

“Kenal sangat. Apa nama anak ni?”

“Akmal. Muhamad Akmal Hakim.”

bersambung...

penaJannah
...takkan berhenti menari!!!


Wangian Kasturi part 1

Wangian Kasturi~part 1

Thursday, April 14, 2011

‘Ya Allah, aku kini sendiri. Tiada ayah, tiada ibu. Pada siapa aku ingin mengadu, Ya Allah.’

Muhamad Akmal Hakim merenung rumah usang dan sunyi itu. Rumah yang tiada berpenghuni lagi. Tiada penghuni selain dirinya. Ayahnya telah lama tiada. Sebelum Akmal mampu melihat dunia, dia sudah bergelar yatim. Kini, sudah bergelar yatim piatu. Ibunya pula meninggal akibat kemalangan jalan raya. Langgar lari dan rompakan. Ke mana agaknya hilang keperimanusiaan manusia? Ibunya yang cedera dibiarkan terdampar kesakitan, tiada siapa membantu. Sudahlah begitu, duitnya pula diambil. Akmal menjadi marah dan kecewa pada siapa sahaja yang sanggup melakukan perkara itu pada ibunya. Ibunya gagal diselamatkan kerana cedera di kepalanya terlalu parah. Akmal pasrah dalam kecewa.

“Akmal, pergi ambil pakaian Akmal. Akmal tinggal saja di rumah nenek. Tiada siapa lagi di rumah ini.”

“Nenek pulanglah dulu. Akmal mahu tinggal di sini. Ini rumah Akmal. Ini satu-satunya harta yang ibu tinggalkan untuk Akmal. Akmal ingin terus di sini.”

“Terpulang pada Akmal. Nenek tidak memaksa. Tetapi kalau ada apa-apa yang Akmal perlukan, datang rumah nenek ye.”

Akmal hanya mengangguk. Nenek Salmah, jiran yang paling dekat dengan rumahnya. Nenek Salmah baik orangnya. Begitu juga anak-anaknya, abang Saifuddin dan kakak Fatimah. Mereka berdua juga sepertinya kini, anak yatim piatu.

“Akmal, menangislah kalau Akmal ingin menangis. Menangis sepuas-puasnya. Kakak faham apa yang Akmal rasa. Kehilangan kan? Rasa tak gunanya hidup lagi. Mesti Akmal tertanya-tanya, untuk apa lagi Akmal perlu hidup.” Kata kakak Fatimah ketika di hospital. Akmal tidak mengangguk, tidak juga menggeleng. Hanya pandangannya terpaku pada wajah lembut Fatimah.

“Kakak faham perasaan Akmal. Kakak dan abang Din pernah alami semua ini.”

“Tapi nasib kakak dan abang lebih baik. Kakak masih ada nenek Salmah. Akmal tiada sesiapa lagi.”

“Akmal ada kakak, abang Din dan nenek. Kami kan sudah seperti satu keluarga?”

Akmal diam.

“Akmal, ini adalah ujian untuk Akmal. Tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. Percayalah, Allah tidak akan menguji hamba-Nya diluar kemampuan kita. Allah menguji Akmal kerana Akmal cukup kuat untuk hadapinya. Bila kehilangan orang yang kita sayang, kita kena pasrah, kita kena redha dengan ketentuan-Nya. Setiap orang disekeliling kita adalah pinjaman dari Allah, Dia boleh ambil bila-bila masa yang Dia mahu.”

“Terlalu awal kak. Terlalu awal Allah mengambil ayah dan ibu. Belum sempat Akmal mengenal ayah, ayah sudah pergi. Sekarang, Akmal belum puas rasa kasih ibu, ibu juga telah tiada. Terlalu awal, kak. Akmal tak mampu hidup sendiri.”

“Akmal tak pernah sendiri. Allah sentiasa bersama hamba-Nya yang taat, sabar dan tawakal. Percayalah pada-Nya.”

“Akmal tak mampu, kak.”

“Akmal mampu. Kakak percaya Akmal mampu tempuhi semua ini. Kalau kakak dan abang Din, dan ramai lagi anak yatim piatu di luar sana mampu teruskan hidup, mampu berdikari, kenapa tidak Akmal? Bangkitlah, dik. Hidup perlu diteruskan, walau apapun yang terjadi.”

‘Hidup perlu diteruskan, walau apapun yang terjadi.’ Terngiang-ngiang kata-kata itu, bagai kata-kata keramat yang mampu mengubat luka dihati Akmal. Akmal tekad untuk meneruskan hidupnya. Dia pernah berjanji dengan ibunya untuk menjadi insan yang berjaya. Akmal ingin menjadi ahli perniagaan. Dia ingin mengubah nasibnya yang miskin dan hina. Akmal juga berazam ingin mengubah nasib insan-insan sepertinya. Dia ingin menjadi tangan yang memberi bukan lagi tangan yang menerima.

...bersambung

penaJannah
...takkan berhenti menari!!!

L.E.G.O (Bahagian 1: Warkah Pertama)

Tuesday, December 21, 2010

Bahagian 1: Warkah Pertama

Assalammualaikum wbt.
Kehadapan saudari Nursajidah Humairah, semoga sentiasa tenang disamping keluarga tercinta. Diharap warkah bisu ini tidak mengganggu ketenteraman saudari.
Tentu saudari berteka-teki, siapakah saya dan bagaimana saya mendapat alamat saudari. Nama saya Muhamad Sazali bin Muhamad Shahril Anwar, berasal dari Teluk Intan, Perak Darul Ridzuan. Salam perkenalan. Saya mendapat nama dan alamat saudari dari majalah Hidayah keluaran terbaru. Saya merasakan ada keserasian untuk kita menjadi sahabat, meskipun dari jauh. Saya harap saudari sudi menerima saya sebagai kenalan…

Mata Nursajidah terpaku pada warkah pertama yang diterimanya sebaik sahaja pulang dari sekolah. Bait kata yang terukir pada helaian kertas A4 itu bagai menggamit mata Nursajidah untuk terus membacanya hingga ke bait terakhir.  5 helai…10 muka surat. Panjangnya surat, desir hati Nursajidah. Ada segaris senyuman terlakar dibibir mungil milik Nursajidah. Baru Nursajidah teringat, dia pernah menghantar biodata dirinya ke majalah Hidayah. Sekadar ingin mencari kenalan pena dari jauh dan dekat.  Muhamad Sazali bin Muhamad Shahril Anwar, tahniah,  anda insan pertama yang mengutus surat kepada Nursajidah Humairah binti Aris. Sazali…17 tahun…2 tahun lebih tua dari Nursajidah.
Nursajidah Humairah, pelajar tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Menanti, anak ketiga dari lima beradik ini amat meminati bidang penulisan. Membaca adalah minatnya sejak azali, buku adalah teman karib sejak Nursajidah tahu membaca. Dek kerana minatnya dalam penulisan, Nursajidah ingin mencari kenalan pena. Ingin bertukar pendapat dan pengalaman dengan teman-teman yang jauh di mata. Diikutkan hati, ingin sahaja Nursajidah merantau mencari pengalaman ditempat orang, berada jauh dari keluarga dan kampong halaman. Namun Nursajidah sedar, dirinya masih terlalu mentah untuk hidup berdikari. Nursajidah masih memerlukan asuhan dan didikan kedua orang tuanya. Meskipun ramai teman seusianya menjejakkan kaki ke sekolah berasrama penuh yang jauh dari negeri kelahiran, Nursajidah tidak memiliki cita-cita itu. Untuk Nursajidah, dia belum bersedia, belum kuat untuk hidup sendirian tanpa pantauan dan didikan keluarga. Nursajidah dimanjakan? Tidak sama sekali. Ibunya seorang yang lembut, tetapi tegas dalam mendidik anak-anak. Saban hari, ada saja nasihat dan peringatan berguna dititipkan buat anak-anak tercinta. Sesekali nasihat itu adalah nasihat yang berulang, entah yang keberapa kalinya. Namun Nursajidah tidak jemu mendengarnya. Ibunya, meskipun tidak mendapat pendidikan tinggi, hanya mampu tamat sekolah rendah sahaja, tetapi kata-kata ibunya adalah nasihat yang berguna, bukan leteran atau bebelan tanpa asas.
Sahabat pena. Nursajidah sudah lama memendam keinginan untuk memiliki sahabat pena. Medium bertukar pendapat dan pengalaman. Nursajidah sebagai pelajar tingkatan tiga yang masih mentah, tentu saja Nursajidah kurang pengalaman. Namun Nursajidah gemar memerhatikan sekeliling. Tingkah laku insan disekelilingnya. Lebih tepat lagi, Nursajidah suka belajar dari pengalaman orang lain.  Sazali..sahabat penaku yang pertama, bisik hati Nursajidah.

Wa’alaikummussalam wbt.
Semoga sihat dibawah payungan rahmat yang Maha Berkuasa. Warkah bisu saudara selamat berlabuh dipangkuan saya. Terima kasih kerana sudi menjadi sahabat pena saya. Salam perkenalan dari Pulau Mutiara…

Warkah bisu memula langkah..
Dalam senyuman terbalas sudah…
penaJannah
...takkan berhenti menari!!!

Pelayaranku ep5

Thursday, September 2, 2010

Pelayaranku ep5


Kicauan burung bersahutan, bertebaran terbang di dada langit, memulakan hari yang indah dengan memuji Tuhan yang mencipta langit dan bumi. Putera Ali merenung jauh ke langit yang bakal disirami cahaya mentari. Suasana selepas subuh yang hening mengundang rasa sayu di hati Putera Ali. Ingatan Putera melayang kepada almarhum ayahanda tercinta. ‘Apa khabar ayahanda di sana? Amankah? Atau meranakah?’ bisik hati Putera Ali. Tanpa sedar air mata Putera Ali menitis untuk kesekian kalinya.


“Assalammulaikum ayahanda…”


“Oh, Putera kesayangan ayahanda rupanya. Ke mari anakanda. Perihal apa yang membawa anakanda ke istana ayahanda?” jawab Sultan Khalid.


“Anakanda tidak menggangu? Kelihatannya, ayahanda sedang sibuk menguruskan sesuatu.”

“Tidak anakanda. Anakanda tidak mengganggu. Ayahanda sedang menulis surat balasan kepada Sultan Aminuddin. Sebentar tadi utusan Sultan Aminuddin tiba bersama surat baginda. ”

“Apa isi surat Sultan Aminuddin, ayahanda?”

“Ini suratnya. Anakanda bacalah sendiri.”

Assalammualaikum sahabat yang dihormati, Sultan Khalid al Walid. Kita kirimkan sekalung doa, semoga sahabat dan Negara Menora sejahtera di bawah lindungan Tuhan yang mana kaya.

Sahabatku, kita mendapat aduan dari pedagang yang singgah berdagang di Menora. Khabarnya keadaan Menora semakin kacau bilau angkara lanun durjana. Tidakkah kerajaan Menora mengambil apa-apa tindakan untuk menghalang kemaraan lanun-lanun itu? Jika sahabat memerlukan bantuan, khabarkan saja kepada kita, seberapa segera akan kita hantar bantuan ke Menora. Satu lagi aduan yang kita terima mengenai cukai dagangan yang dikenakan ke atas pedagang-pedagang luar yang ingin berdagang di Menora. Khabarnya cukai berkenaan terlalu tinggi dan membebankan para pedagang. Pada hemat kita, elok dikurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar. Semoga dengan cara itu, semakin ramai pedagang datang berdagang di Menora. Ingatlah sahabatku, pemerintah umpama seorang ayah dan rakyat jelata adalah anak-anaknya. Tugas seorang ayah memastikan anak-anaknya tidak susah, cukup makan pakai serta tidak ditindas. Sekian sahaja.
Sahabatmu,
Sultan Aminuddin Shah
Sriandalas.


“Ayahanda, anakanda bersetuju dengan saranan Sultan Aminuddin. Cukai dagangan yang kita kenakan terlalu tinggi. Ramai pedagang tidak mahu lagi berdagang di Menora. Tiada salahnya kita kurangkan sedikit cukai tersebut. ”

“Anakanda, anakanda. Pedagang-pedagang yang datang bukannya dari golongan yang papa kedana. Semuanya pedagang yang kaya. Masakan membayar cukai lebih sedikit tidak mampu ”

“Bukan semua pedagang mampu membayarnya, ayahanda.”

“Jika tidak mampu membayar, senang saja, tidak perlulah berdagang di sini. Banyak lagi tempat dagangan yang cukainya mampu mereka bayar. Memang sengaja ayahanda naikkan cukai itu supaya hanya pedagang kaya saja singgah di sini.”

“Tetapi ayahanda, pedagang yang singgah semakin berkurangan. Tidakkah merugikan kita?”

“Tidak, anakanda. Hasil yang kita perolehi tetap sama, malah makin bertambah. ”

“Barang dagangan juga semakin mahal. Tidakkah membebankan rakyat Menora juga?”

“Setakat ini tiada aduan yang ayahanda terima dari rakyat mengenai hal itu. Usahlah anakanda bimbang.”

“Ayahanda, tentang lanun-lanun yang bermaharajalela di perairan kita. Sampai bila ayahanda hendak bersengkongkol dengan mereka? Lanun-lanun itu bertindak sesuka hati ke atas rakyat kita ayahanda. Tidakkah keadaan ini menggugat keamanan Menora?”

“Anakanda, anakanda. Ayahanda bekerjasama dengan lanun-lanun itu untuk keselamatan Negara juga. Lupakah anakanda, siapa yang menghapuskan kumpulan pemberontak yang cuba merampas kuasa Menora dari tangan ayahanda? Ayahanda terhutang budi dengan ketua kumpulan lanun itu. Tambahan lagi, ketua lanun sering menghadiahkan wang, emas dan banyak lagi barang berharga yang Berjaya mereka rampas. Kegiatan mereka sedikit pun tidak menggugat kerajaan kita.”

“Anakanda risaukan keselamatan rakyat kita, ayahanda. Lanun-lanun itu sering membuat onar pada gadis-gadis kampong dan membunuh siapa saja yang cuba melawan. Mereka merampas harta rakyat sesuka hati. Jika keadaan ini berterusan, rakyat akan menderita.”

“Kenapa keadaan rakyat yang anakanda bimbangkan? Bukankah rakyat sememang harus taat setia pada raja, bukan sebaliknya.”

“Ayahanda…”

“Sudahlah anakanda. Ayahanda yang mentadbir Menora. Anakanda usah masuk campur urusan pentadbiran.”

“Apa yang ayahanda katakan pada Sultan Aminuddin Shah?”

“Ayahanda menafikan semua aduan pedagang itu. Sultan Aminuddin pasti percaya pada ayahanda kerana kami sudah lama bersahabat.”

“Sultan Aminuddin seorang yang bijaksana, ayahanda. Satu hari baginda tentu dapat tahu perkara sebenar. Anakanda minta diri. Assalammualaikum…”

Putera Ali mengeluh kesah. Setiap kali terkenangkan almarhum Sultan Khalid, hati Putera Ali sakit. Sultan Khalid seorang ayah yang penyayang. Baginda amat menyayangi Putera Ali dan Puteri Zainab. Keduanya ditatang bagai minyak yang penuh. Namun baginda seorang raja yang kejam, sering menindas rakyat jelata. Sudah banyak harta rakyat dirampas secara paksa. Cukai yang dikenakan kepada petani dan pedagang terlalu tinggi sedangkan hasil dagangan dan pertanian tidak seberapa. Putera Ali tidak senang dengan tindakan ayahandanya. Sudah berulang kali Putera Ali menasihati ayahandanya supaya bertaubat, tetapi langsung tidak diendahkan. Kini Sultan Khalid sudah tiada, Putera Ali sering menangis mengenangkan bagaimana agaknya nasib ayahanda di alam kubur. Sebagai anak, Putera Ali tidak putus-putus mengirimkan doa buat ayahanda tercinta. Hanya itu yang mampu Putera Ali lakukan.

“Assalammualaikum, Putera Ali.” Sapa Puteri Humairah, mengejutkan Putera Ali dari lamunan.

“Wa’alaikummussalam, Puteri dan juga Melor. Bagaimana semalaman di Menora? Lena tidur ditempat orang?”

“Alhamdulillah, Putera. Apa rancangan kita hari ini?”

“Hari Jumaat adalah hari melawat rakyat. Setiap kali Jumaat, kita dan pembesar istana akan turun menemui rakyat. Meninjau keadaan rakyat yang sebenarnya dan kita turut menunaikan solat Jumaat bersama rakyat. Jadi, kita amat berbesar hati jika Puteri sudi turut serta.”

“Sudah tentu Putera. Kita juga teringin mendekati rakyat Menora.”

“Jika begitu, eloklah Puteri bersiap sedia. Insya Allah, kita akan bertolak sebentar lagi.”

“Oh ya. Siapa yang akan Putera perkenalkan pada kita nanti?” Puteri Humairah teringat perbualannya dengan Putera Ali semasa menyambut ketibaannya semalam.

“Ayah angkat kita, Puteri mengenalinya. Ayah melonjak gembira bila dapat berita Puteri akan melawat Menora. Ayah ingin benar menemui Puteri.”

“Siapa ayah angkat putera itu? Kita mengenalinya?”

“Sabar Puteri. Nanti Puteri akan tahu sendiri. Kita minta diri dulu. Ingin memeriksa persiapan para pembesar.”

“Silakan putera…”

‘Siapa agaknya ayah angkat Putera Ali itu? Kita mengenalinya?’ Ikuti sambungannya...


 
penaJannah
…takkan berhenti menari!!!

Aku Berserah pt2

Monday, March 1, 2010

Menghitung hari... detik demi detik...
masa kunanti apa kan ada
jalan cerita kisah panjang
menghitung hari...


Menghitung hari? Mungkin benar aku sedang menghitung hari...desah hati Nurmaisarah. Lagu yang berkumandang di corong radio seperti mengerti resah hatinya kini. Sememangnya Nurmaisarah sedang menghitung setiap detik yang berlalu. Apakah akan terjadi esok hari akan membuat dia terus tersenyum dalam kepayahan? Atau mungkin juga menangis? Menanti detik waktu insan tersayang bersama insan lain... Inikah suratan takdir atau mungkin satu lagi ujian? Nurmaisarah keliru. Andai takdir telah tersurat sedemikian rupa, Nurmaisarah sedia akur. Luka dihati biar separah mana, akan sembuh jua diubati masa. Tetapi Fahrin? Dia masih mengharap, dia masih menyimpan impian indah bersama Nurmaisarah, meski Fahrin sendiri tidak tahu masih wujudkah jalan untuk impiannya termakbul. Pernah Fahrin cuba melupakan kenangan lalu, pernah dia cuba menjauhi Nurmaisarah. Namun jarak bukan pemisah kerana kenangan bersama terlalu indah. Fahrin pernah cuba mengikut kata keluarganya, menerima seorang wanita yang langsung tidak dikenali sebagai suri hidupnya. Namun segala percubaannya gagal. Hingga kini Fahrin masih mengharap dan masih berdoa... Oh Tuhan...

***

"Kenapa awak pilih saya? Awak kan tau saya macam mana..." Tanya Fahrin. Sekadar inginkan kepastian dari Nurmaisarah.

"Kenapa awak? Saya pun tak tahu kenapa saya pilih awak. Tak ada sebab..." Jawab Nurmaisarah, jujur.

"Takkan tak tahu?"

" Betul tak tahu... You're not the best man i've ever met. Ada sikap awak yang saya tak suka. Pemarah, perokok, awak cakap ikut sedap mulut awak je. Kadang-kadang saya terasa. Entah macam mana saya boleh sabar dengan sikap awak. Kalau fikirkan betul-betul, orang macam saya tak sesuai dengan orang macam awak. We're totally different. Macam air dengan api. Puas saya fikir, tapi saya tetap tak dapat jawapan kenapa saya pilih awak..." Panjang lebar Nurmaisarah cuba terangkan.

"Hm..."

"Kenapa awak tanya?"

" Ada orang kata awak sukakan saya sebab saya anak orang kaya."

" Awak pun fikir macam tu ke?" Nurmaisarah cuba menguji ketulusan hati lelaki di hadapannya.

" Tak, saya tak fikir macam tu. Cuma bila ada orang cakap macam tu, saya terfikir, kenapa awak pilih saya. Kan ramai lagi lelaki lebih baik diluar sana. I'm not the best man u've ever met...right?" Fahrin cuba memulangkan paku buah keras kepada Nurmaisarah. Kata-kata Nurmaisarah telah mengguris hati lelakinya.

" Itu hakikatnya. Face it! Taraf pendidikan kita sama, Fahrin. Duit, pangkat...semuanya saya boleh dapatkan tanpa bantuan awak. Saya membesar dalam keluarga yang sederhana. Money is nothing for me, absolutely nothing! Money can't buy happiness. Saya bahagia dibesarkan dalam keluarga yang sederhana walaupun kadang kala apa yang saya inginkan, saya tak dapat. Tapi keluarga saya tetap kaya dengan kasih sayang. Jangan hina saya hanya kerana saya tak punya harta seperti awak.." Nurmaisarah meluahkan perasaan yang sekian lama terpendam. Bukan Nurmaisarah tak pernah dengar kata-kata sinis teman-teman sekuliah yang tidak senang dengan hubungannya dan Fahrin.

"Mai...saya tak bermaksud untuk hina awak. Saya cuma bertanya."

" Awak dah dapat jawapannya. Fikirlah sendiri. Saya pergi dulu." Nurmaisarah terus berlalu meninggalkan Fahrin yang masih termangu sendiri.

" I didn't mean to hurt you..."

" Whatever..."

***

Takbir bergema di subuh hari, mengundang sayu dihati Nurmaisarah. Entah mengapa, berakhirnya Ramadhan menghantar rasa gundah di hatinya. Mungkin kerana berakhirnya bulan yang mulia, bulan yang lebih baik dari seribu bulan, bulan penuh rahmat dan barakah, atau mungkin kerana akan tibanya satu Syawal, menambah sebak di jiwanya. Nurmaisarah merenung jubah ungu pemberian Fahrin...Cantik...itulah baju rayanya kali ini.

"Saya suka kalau awak berjubah. Nampak ayu, sopan je..."Kata Fahrin satu hari.

"Apa yang saya pakai sekarang awak tak suka la?"

"Bukan tak suka...saya teringin nak tengok awak berjubah, sama macam saya tengok awak berbaju kurung... sopan.."

"Awak belikanlah... mana saya ada jubah."

"Betul awak akan pakai ni? Nanti saya belikan. Hadiah hari jadi awak...."

"Suka hati awak la encik Fahrin... Jom pergi makan, saya lapar la... Awak nak belanja kan?"

"Ewah2... Kenapa saya juga yang kena belanja?"

"Awak kan kaya raya...pegawai bank la katakan..."

"Banyak la awak..."

"Saya sorang jelah..."

Kenangan...kenangan...kenangan... perlukah dibuang atau disimpan?

"Kak Mai! Cepat la siap.... nak p masjid dak?" Panggilan Nursyafiqah...satu-satunya adik Nurmaisarah melenyapkan lamunan yang mula bertapak dihatinya.

"Dok siap la ni... Tunggu sat."

Nurmaisarah melihat dirinya yang telah lengkap berpakaian. Melihat dirinya dalam jubah ungu yang amat bermakna untuknya. Senyuman cuba diukir lagi... Tersenyum dikala hati ingin menangis...itulah kekuatan kurniaan Tuhan yang Maha Mengetahui... Dan dengan kekuatan itu, Nurmaisarah akan teruskan hidupnya... Life must go on...cause it cannot be stop just because you felt down...be brave...face everything...

***

"Hang jangan balik terus pulak. Tak dak sapa kat rumah sewa hang tu. Pi dok rumah Chik hang dulu. Nanti kak ina hantaq la balik. Jangan la ketegaq sangat. Orang dok risau hang dok sorang-sorang kat rumah tu."

"Malaih la mak... Bukan che tak biasa dok rumah tu sorang-sorang. Tak dak apa jadi pun."

"La ni musim raya, semua balik kampung. Kalau apa-apa jadi kat hang, tak dak sapa boleh tolong. Pi la dok rumah Chik hang sat. Bukan orang lain, mak menakan hang jugak. Mak dah telefon chik hang tadi. Kak Ina hang boleh hantaq hang balik."

"Ha lah...."Nurmaisarah akur pada kata Puan Salmah, hati ibu mana yang tak risau memikirkan anaknya jauh dimata, tinggal pula sendiri di rumah. Namun berat hatinya ingin tinggal di rumah ibu saudaranya yang satu ini. Bukan membenci jauh sekali bermusuh, hanya dirinya seperti orang asing di rumah saudara sendiri. Sepanjang hampir 4 tahun Nurmaisarah merantau di negeri Selangor ini, hanya beberapa kali sahaja dia berziarah ke rumah ibu saudaranya. Itupun dengan kehadiran abangnya sekeluarga. Jauh hati mungkin. Namun air yang dicincang takkan putus. Mereka tetap saudaranya yang rapat di sini. Susah senangnya tetap mereka ambil tahu.

Hari raya keempat, Nurmaisarah bersendiri di rumah sewanya. Rakan-rakan serumahnya bakal pulang petang atau malam nanti. Ada hati yang gembira hari ini, juga ada jiwa yang menangis meski bibir masih mampu tersenyum. Hari yang ditunggu telah tiba, entah apa perasaannya kala ini. Insan tersayang akan menjadi tunangan orang. Bagaimana harus ku berdepan dengannya selepas ini? Apa yang harus kukatakan? Memberi harapan atau memusnahkannya? Nurmaisarah bingung. Dia tidak pasti langkah yang mana harus dituruti. Ditelan mati emak, diluah mati bapak. Segalanya adalah ujian atau takdir, dia tidak tahu. Serahkan segalanya pada yang Maha Tahu... Pernah terdetik dihati kecil Nurmaisarah, mungkin salah jalan yang dipilih dalam mencari cinta sesama manusia. Mungkin juga cinta sesama manusia yang disemainya melebihi cintanya pada yang Maha Mengasihi. Lupakah dia pada Ilahi?

***

"Awak tak kisah kalau saya kahwin dengan orang lain?"

"Jodoh, pertemuan, ajal, maut bukan ditangan kita..."

"Jadi awak tak kisah berkahwin dengan orang lain?"

"Kisah... tapi kita cuma hamba yang lemah. Tak mampu untuk melawan takdir. Percayalah, Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Mungkin awak dijodohkan dengan orang yang lebih baik dari saya, mungkin dia boleh terima awak, boleh faham diri awak lebih dari saya. Saya redha kalau itu yang terbaik untuk awak."

"Awak yang terbaik untuk saya. You're my happiness, you're my everything..." Oh Fahrin, kata-kata inilah yang membuat Nurmaisarah risau... Apa agaknya akan terjadi pada lelaki ini andai Nurmaisarah dipanggil Ilahi tanpa sempat mengucap selamat tinggal? Bukankah ajal boleh tiba bila-bila masa...

***

'Mai...ko busy ke sekarang?'Suraya tiba-tiba menghantar mesej melalui Yahoo Mesenger.

'Macam biasa... tak. ahaks... apsal?'

'Apa pendapat ko tentang poligami?'Poligami?? Kenapa tiba-tiba Suraya bertanya tentang poligami?

'Ko ni kenapa? Tetiba tanya pasal poligami... Ko terfikir nak jadi isteri nombor berapa ni?' Pelik...pelik...seingat Nurmaisarah, Suraya amat menentang poligami. Meski pelbagai dalil yang Nurmaisarah beri, pendirian Suraya tetap sama. Nurmaisarah sedar, bukan Suraya seorang sahaja yang berpendapat begitu. Ramai lagi wanita di luar sana yang tidak rela bermadu. Jangan disalahkan mereka berpandangan begitu. Keadaan dan pengalaman wanita lain yang terlibat dengan poligami yang mempengaruhi pemikiran mereka. Namun, hukum Allah adalah sempurna. Tiada cacat celanya. Hanya pelaksanaannya oleh manusia yang menjadikan poligami satu pengalaman ngeri bagi sesetengah wanita. Mengapa disalahkan lantai andai tarian sendiri yang sumbang?

'Just asking... Ko rasa, poligami tu macam mana? Bahagia ke kalau kita terpaksa berkongsi?' Suraya seperti sedang bingung...

'Sue, buka minda ko dulu sebelum bercakap tentang poligami. Bear in your mind, poligami adalah peraturan yang dicipta oleh Allah SWT, Tuhan yang Maha Tahu segala yang nyata dan ghaib. Dan ingat, Allah itu sempurna sifatnya, peraturanNya jua sempurna. Poligami tiada salahnya. Kenapa Allah membenarkan lelaki berkahwin lebih dari satu? Salah satu sebabnya adalah untuk membela nasib wanita. Sanggup kau lihat wanita lain menjadi GRO, atau perempuan simpanan? Mana lebih baik, jadi isteri keempat, yang mendapat hak sebagai isteri, sama seperti madu-madunya, martabat seorang isteri sangat mulia... atau menjadi perempuan simpanan yang bukan sahaja bergelumang dengan dosa tetapi akan dilayan seperti kain buruk pabila tidak berguna lagi?'

'Panjangnya ko membebel. Macam ustazah... ko memang boleh jadi pensyarah la...'

'Bukan membebel, cuma bagi penerangan secara terperinci. Ko tu bukan boleh terangkan simple-simple je, nanti cepat benar melatahnya. Cepat jawab soalan aku?'

'Mesti la isteri... Sapa nak jadi perempuan simpanan... Ko nih...'

'Ye...ko nak kata soalan aku bijak sangat. Aku cuma nak respon dari ko je. Tak la aku penat menaip nih..huhu'

'So...?'

'Oklah aku sambung bebelan aku. So...nothing wrong with polygamy right? Apa yang kita selalu lihat di kaca tv dan di alam realiti, bermadu sangat memeritkan bagi wanita khasnya dan memeningkan kepala kaum adam juga sebenarnya. Kenapa jadi macam tu? Salah poligami? atau salah suami dan isteri-isteri dalam poligami? jawab cepat.'

'Erm...entah. Salah suami la tak tahu nak handle rumah tangga.'

'Suami je?'

'Yelah. Selalunya kan macam tu. Dah la kahwin senyap-senyap. Lepas tu jadikan kelemahan isteri tua sebagai sebab dia kahwin lagi. Dah kahwin tu bukannya nak berlaku adil. Asyik sebelahkan yang muda. Macam mana nak isteri tua tak marah? Kalau aku la...ish...tak tau la apa aku nak buat. Nak juga aku siat-siat suami dengan perempuan yang tak tahu malu tu. ish...geram betul aku!'

'Ok2...control your emotion my friend... Jangan marah dulu. Aku tak kata aku setuju yang segala kesalahan dalam poligami adalah dari pihak suami. Tetapi, kegagalan satu poligami berpunca dari kelemahan orang yang berpoligami, suami dan isteri-isterinya. Betul tak?'

'Erm...aku setuju.'

'Jadi, bukan salah poligami, tetapi orang yang melaksanaankan poligami. Faham cik Suraya?'

'Tu aku faham la. Tapi bahagia ke kalau hidup terpaksa berkongsi kasih dengan orang lain? Kasih suami pula tu?'

'Cet. Ko tanya macam aku ni isteri keempat kan?'

'Ko ni... saja buat aku geram la Mai'

'Ok2...saja jer gurau-gurau dengan ko. Jangan marah-marah nanti buruk gila muka ko...hahah"

'Ish...budak ni. Jawab la soalan aku...'

'Ok cik Suraya... Poligami tu hukum yang Allah SWT turunkan ke atas, dan Dia turunkan dengan peraturannya sekali termasuk la syarat-syarat untuk berpoligami. Syarat utamanya adalah lelaki yang berpoligami hendaklah beriman dan taat pada perintah Allah, serta memahami konsep poligami yang sebenar dan mengamalkannya terhadap isteri-isterinya. Lelaki yang berpoligami amat besar tanggungjawabnya. Dan syarat yang lain mestilah berlaku adil terhadap isteri-isterinya dalam pemberian nafkah zahir dan batin. Selain daripada tu kena la sihat tubuh badan dan kewangan pun stabil. Jadi, kalau si lelaki kena la double check diri dia sendiri, layak ke? dan kita sebagai wanita sebelum berpoligami, mana la tahu nak jadi isteri kedua ke, pastikan dulu kelayakan bakal suami tu. Langkah berjaga-jaga sebelum berpoligami. Ada faham?'

'Erm...Kalau tak layak?'

'Kalau tak layak, tak payah la berpoligami. Isteri seorang cukup la. Kalau kail panjang sejengkal...jangan lautan hendak diduga...'

'Ok. Andai kata lelaki dah layak, macam mana dengan isteri? i mean isteri-isteri..'

'Redha... isteri yang dimadukan, ops..isteri-isteri... mesti la redha dan terima hakikat bahawa suami bukan hak milik kita seorang sahaja. Si suami ada keluarga lain. Dan isteri kena la faham si suami kena berlaku adil. jangan mengada-ngada sangat sampai suami tak dapat nak berlaku adil... Bertolak-ansur dengan wanita yang bergelar madu kita tu, bukan orang lain kan... InsyaAllah, kita akan bahagia walaupun terpaksa berkongsi kasih. Setakat itu sahaja ceramah untuk hari ini..'

'Dah2...mula la nak melalut tu... Thanks anyway.'

'One question. Kenapa ko tanya pasal poligami?'

'Aku rasa orang bijak macam ko mesti boleh agak kenapa aku tanya pasal tu.'

'Because of him?'

'Yup. because of him...'

'Fikir betul-betul, Sue. kalau tak berpoligami pun, soal perkahwinan bukan main-main.'

'Aku tahu. Sebab tu aku buntu sekarang ni. Apa aku nak buat sekarang?'

'Istikharah. Dia akan bantukan. InsyaAllah.'

'Istikharah? aku tak tahu macam mana nak buat. Lagipun, yang wajib pun aku tinggal, ini kan pula yang sunat.'

'Ko boleh berubah, Sue. Belum terlambat lagi. Allah tu Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Dia akan terima taubat kau, kalau ko betul-betul ikhlas.'

'Tengok la dulu. Thanks for your advices.'

'Your welcome. You know you can count on me...'

'Ok... aku ada meeting nih. Bye. see you at home.' Suraya...Suraya...apa kesudahan kisah kau nanti? Nurmaisarah termenung sendiri. Suraya, solatlah, sujud pada Tuhan yang Maha Tahu. Pinta petunjuk dariNya. Minta kekuatan dariNya. Aku juga insan yang lemah, tak terdaya untuk beri kau kekuatan.

Bersambung...

Aku Berserah pt1

Thursday, February 25, 2010



Nurmaisarah menghela nafas yang panjang untuk kesekian kalinya, masih mencuba untuk menenangkan jiwanya yang kacau. Sudah berkali-kali Nurmaisarah mencuba.Ternyata kali ini hatinya benar-benar tidak tenang.

"Oh Tuhan...aku ingin menyerah diri padaMu...hilangkanlah resah hati ini..."
Nurmaisarah melafazkan niat solat sunat dua rakaat. Alhamdulillah...kali ini hatinya kuat untuk meneruskan. Kali ini Nurmaisarah berjaya menyerah diri pada Tuhannya. Di keheningan malam, entah mengapa tidurnya terganggu, mata yang letih tak mampu dilelapkan seperti biasa. Mungkin segala yang berlaku siang tadi masih menghantui fikirannya. Masakan tidak, impian yang cuba dibina bertahun lamanya, akhirnya terlerai jua. Sungguh... Nurmaisarah tidak pernah merancang sebegini, jauh sekali berdoa untuk penghujung yang turut mencalarkan hati kecilnya. Fahrin...lancang sungguh mulut Nurmaisarah menutur kata, hingga hati lelakimu terluka.

"Ini kali terakhir kita bercakap. Saya maafkan setiap kesalahan awak pada saya dan saya halalkan segala yang saya berikan pada awak sepanjang perkenalan kita. Jangan sesekali awak pulangkan. Ini yang awak inginkan. Semoga awak akan bertemu dengan orang yang boleh faham diri awak, fikiran awak dan hati awak. Selamat tinggal, Nurmaisarah..." Kata-kata Fahrin masih terngiang seperti bisikan berbisa di telinga

Nurmaisarah. Seminggu telah berlalu, ternyata sukar untuk memaafkan kesalahan sendiri. Berkali-kali Nurmaisarah cuba memujuk hatinya agar pasrah menerima segalanya. Namun jauh disudut hatinya menyesali apa telah berlaku. Hanya kerana emosinya yang tidak stabil tika itu, dia tega menyakiti hati insan yang amat disayangi. Hanya kerana dikuasai rasa marah, dia tega membiarkan hubungan yang telah lama terjalin, terlerai begitu sahaja. Telah banyak dugaan ditempuhi bersama, mengapa kini Nurmaisarah sendiri rela melepaskan? Sungguh dia masih tidak tahu...dia tidak mengerti... Ingin sekali dia merayu pada kasih yang terkubur, mungkin bisa bertapak kembali. Namun, entah dari mana datangnya suara kecil yang menghalang.

"Biarkan takdir menentukan segalanya. Yakinlah pada jodoh yang Dia tentukan. Jangan disakiti hatinya dan hatimu lagi. Andai dia adalah jodohmu, kalian akan tetap bersatu. Andai dia bukan untukmu,setidak-tidaknya hati kalian tidak sakit tika menghadapi perpisahan nanti. Percayalah pada ketentuan Tuhanmu." Hati kecilnya berbisik tatkala terdetik dilubuk hatinya untuk menjalin semula kasih yang terputus. Nurmaisarah tahu dia harus kuat untuk hadapi segalanya dan dia berserah segalanya pada ketentuan Tuhan yang Maha Mengetahui...

***

"Mai, masih terlalu awal untuk kita berkahwin. Kan kita rancang dua tahun lagi? Kenapa tiba-tiba nak cepatkan?"Fahrin hairan memikirkan sikap Nurmaisarah yang tiba-tiba sahaja mengajaknya berkahwin secepat mungkin. Bukan dia tidak ingin menikahi wanita itu, malah Nurmaisarah adalah satu-satunya wanita yang bertakhta dihatinya. Menikahi Nurmaisarah juga adalah impian dan keinginannya. Malah kini, dia merasa tidak lengkap tanpa kehadiran Nurmaisarah. Sungguh dia menyayangi wanita itu...

"Apa bezanya dua tahun lagi dan sekarang? Dah lama kita berkawan macam ni. Mai tak selesa. Dan Mai takut...kalau-kalau kita tak ada jodoh... Mai takut kita sama-sama sakit hati. Cubalah faham..." Nurmaisarah cuba menahan emosi. Dia ingin berbincang secara tenang dengan Fahrin. Perkara ini sangat penting dalam hidupnya, dan dia telah lama memendam rasa takut ini...

"Mai masih belajar. Fahrin tak nak perkahwinan mengganggu pelajaran Mai nanti. Banyak tanggungjawab yang perlu dipikul bila dah berkahwin. Kerja dulu...itu kan apa yang keluarga Mai mahukan? Itu juga yang kita sama-sama rancangkan... Dua tahun je Mai..."

"Tapi..." Ternyata emosi Nurmaisarah tidak mampu dikawal lagi.

"Kalau ada jodoh tak ke mana kan... Mai yang ajar Fahrin semua tu. Lagipun, Mai tahu macam mana keluarga Fahrin kan? Fahrin ada tanya ibu pasal ni..."

"Apa katanya?"Belum sempat Fahrin menghabiskan kata-katanya, Nurmaisarah bersuara. Pendapat ibu Fahrin...tentu saja penting untuknya.

"Ibu sependapat dengan saya. Masih terlalu awal untuk saya berumah tangga."

"Terlalu awal atau keluarga awak tak boleh terima saya? Ibu awak minta tunggu setahun, dua lagi kan? Supaya dia boleh terus cari calon isteri untuk awak. Am i right?" Air mata Nurmaisarah sudah mula bergenang, menunggu waktu untuk jatuh.

"Ibu saya bukan macam tu."

"Awak sebagai anak takkan berburuk sangka pada ibu awak sendiri. Dan disebabkan itu, awak takkan nampak apa yg mata saya nampak dan tak rasa apa yang hati saya rasa. Awak boleh fikir apa sahaja tentang saya. Keluarga awak tak boleh terima saya atas sebab yang tak munasabah. Itulah perkara yang paling tak masuk akal yang saya pernah dengar. Awak akan fikir saya salah. Saya tak patut fikir macam ni...dan macam-macam lagi. Satu hari awak akan sedar kata-kata saya betul. Ibu awak bukan halang awak berkahwin sekarang tapi halang awak berkahwin dengan saya..."Fahrin...cubalah faham ketakutan dalam hatiku ini...

***

Suasana di Dewan Besar, Universiti Putra Malaysia kembali meriah dengan kehadiran mahasiswa mahasiwi baru. Baru tiga hari lepas, para ibu bapa menghantar anak masing-masing dengan harapan yang menggunung tinggi agar anak kesayangan menjadi insan yang berguna di hari muka. Malam ini, Majlis Bersama Menteri..agak suram, hanya kekadang gamat dengan satu demi satu pertanyaan dari pelajar. Tidak di sangka, ada juga yang tidak berpuas hati dengan sistem pendidikan di negara ini, contohnya Program Matrikulasi KPM yang dimonopoli oleh pelajar bumiputra. Ahmad Fahrin, seorang pelajar baru dalam jurusan Sains Komputer pengkhususan dalam Kejuruteraan Perisian, tetap jua termangu di situ. Fahrin bersama ramai lagi pelajar terpaksa duduk di atas lantai lantaran kekurangan kerusi dan ruang di dalam dewan. Tiada apa yang menarik dipandangan Fahrin kini. Sedari tadi asyik ber'sms' dengan rakan karibnya Jaya, sedang merancang untuk tidak mengikuti program orientasi esok hari.

"Fahrin...tengok la tu. Cun sey..." Suresh tiba-tiba menyapa.

"Mana?" Serentak itu Fahrin melihat seorang gadis berwajah lembut, keibuan. Cantik... gadis berbaju kurung dan bertudung kuning serta skaf UPM berwarna merah ternyata menarik perhatian Fahrin. Entah mengapa wajah lembut gadis itu membuat matanya terpaku. Bukan pada kecantikan lahiriah, bukan jua pada kemanisan senyuman tetapi pada seraut wajah yang bercahaya. Fahrin dapat melihat keindahan dalaman pada gadis yang tidak dikenalinya itu. Gelak tawanya tidak seperti gadis-gadis yang sering dihampirinya, masih terkawal dengan kesopanan. Kesopanan...sungguh payah dicari dalam diri insan bergelar wanita pada masa ini. Namun layakkah aku mendapat gadis sebaik impianku...tanya Fahrin lantas menundukkan pandangannya.

***

"Fahrin! Apa yang ko tengok ha?" Amy, atau nama penuhnya Amy Elyana, teman sekuliah Fahrin yang sebenarnya pernah dikenalinya semasa sama-sama menghadiri seminar SPM dua tahun lalu. Meskipun penampilan Amy sangat berbeza kini, namun ternyata mata Fahrin mampu mengenalinya. Entah mengapa Amy berubah dari seorang gadis sopan bertudung labuh, kepada gadis yang bukan sahaja lenyap tudungnya tetapi berpakaian sungguh menggairahkan. Mungkin Amy hanya berpakaian sopan kerana bersekolah agama, dan kini dia bebas memilih jenis pakaian yang akan disarungkan ke tubuhnya. Namun Fahrin tidak pernah kisah tentang semua itu. Baginya itu hak individu. Tentu Amy ada alasan tersendiri. Fahrin berkawan dengan sesiapa sahaja yang ikhlas bersahabat dengannya. Ternyata Amy seorang yang baik hati, tak lokek untuk memberi pertolongan andai Fahrin meminta bantuan. Selagi Amy setia pada persahabatan yang dibina, Fahrin tidak akan pernah menolak.

"Takde apa la... Kau tau tak, ada sorang girl yang aku ushar masa orientasi. Tup..tup...dia satu course dengan kita..."

"Ha...saper?"

"Nama dia Nurmaisarah... Budak tu 'nerd' la..."

"Hoo...ko suka budak nerd rupanya... yang mana satu nih?"Amy sendiri tidak menyangka, Fahrin yang perangai macam budak nakal tu boleh suka pada perempuan yang 'nerd'.

"Kalau ko pandai, ko cari la sendiri... jangan mimpi la aku nak bagitau ko..."

"Hampeh la ko nih... Aku jumpa minah tu aku bagitau dia, ko minat kat dia..." Bagus la...bisik hati Fahrin.

***

Tidur Nurmaisarah terganggu lagi. Sejak kebelakangan ini memang payah untuk Nurmaisarah melelapkan mata. Hanya sesekali jika tubuh terasa letih amat, tidurnya akan nyenyak. Mungkin kerana sudah menjadi kebiasaan Nurmaisarah bercakap dengan Fahrin sebelum tidur, meskipun hanya untuk beberapa minit, Fahrin tidak pernah jemu menghubungi dirinya. Kadang kala risau jua Nurmaisarah, kalau-kalau timbul rasa jemu dihati lelaki kesayangannya. Mak su pernah nasihatkan supaya jangan selalu berjumpa atau terlalu kerap ber'sms'. Katanya lelaki mudah merasa jemu. Namun lain pula untuk lelaki bernama Fahrin, sejak hari pertama tak pernah jemu bercakap, ber'sms' dan bersua dirinya. Nurmaisarah bangkit dari perbaringan. Niatnya ingin mengambil wudhu dan bersolat sunat dua rakaat. Telah menjadi kelaziman Nurmaisarah bangkit di tengah malam. Kalau pun bukan untuk bersolat sunat, dia perlu bangun jua untuk mengulangkaji pelajaran ataupun untuk bersahur kerana puasa sunat hari Isnin dan Khamis telah menjadi kebiasaan Nurmaisarah. Belajar di waktu awal pagi sebegitu padanya lebih baik dari berjaga tengah malam hingga pagi. Sesekali memang Nurmaisarah terpaksa jua tidak tidur semalaman, terutama untuk siapkan tugasan yang perlu dihantar keesokan harinya. Salah satu tabiat buruk Nurmaisarah adalah selalu menyiapkan tugasan pada saat-saat akhir. Berulang kali Nurmaisarah cuba membuang tabiat buruknya itu, namun hingga kini tidak berjaya.

Nurmaisarah membuka pintu biliknya dan ingin terus ke bilik air. Namun langkahnya terhenti tatkala terdengar suara esakan dari ruang tamu rumah sewanya. Nurmaisarah mengalihkan langkahnya ke arah suara itu. Ternyata teman serumahnya sedang teresak-esak menangis di atas sofa. Suraya, teman serumahnya itu sememangnya mempunyai masalah peribadi yang Nurmaisarah sedia maklum.

"Sue...kenapa nih? Bergaduh lagi?" Nurmaisarah memeluk Suraya, mencuba untuk menenangkan hati Suraya yang tidak keruan.

"Mai...aku tak tahu apa yang patut aku buat lagi. Kenapa dia mesti cari aku lagi? Dah banyak kali aku cakap kat dia yang aku tak nak jumpa dia lagi... Kenapa susah sangat dia nak faham?" Nurmaisarah tahu siapa 'dia' yang Suraya maksudkan.

"Sabar Sue... Apa yang dia cakap kat kau?"

"Dia nak terus jumpa aku. Dia nak aku layan dia macam biasa. Dia cakap dia takkan lepaskan aku. Apa aku nak buat ni, Mai?" Suraya ternyata amat tertekan dengan kedegilan Fendi, lelaki yang terlalu mementingkan diri sendiri. Salahkah Suraya mencari kebahagiaannya sendiri jika Fendi bukan tercipta untuknya?

"Jangan layan dia lagi. Kalau aku ditempat kau, aku takkan pedulikan dia lagi. Takkan jawab sms atau call dia... Biarkan dia. Dia akan berkahwin tak lama lagi. Tinggal lagi sebulan kan? Jangan pedulikan dia..."

"Aku dah cuba, Mai...tapi aku tak sampai hati tengok dia sedih. Dia terpaksa Mai...aku tahu dia terpaksa berkahwin dengan perempuan tu."

"Terpaksa? Kenapa terpaksa? Kau tahu?"

"Tak...aku tak tahu... aku...aku dapat rasa yang dia tak gembira dengan perkahwinan ni."

"Tu cuma perasaan kau,Sue. Dia yang buat keputusan untuk berkahwin dengan orang lain. Kalau betul dia sayangkan kau, dia akan berusaha untuk bersama kau. Dia tamak, Sue...dia mahukan kedua-duanya tanpa fikirkan perasaan dua wanita yang tersepit di tengah-tengah. Lupakan dia, Sue..."

"Aku tak cukup kuat Mai. Aku tak mampu... susah sangat!"

"Cari kekuatan dalam diri kau. Dekatkan diri pada Allah kerana Dia akan beri kau kekuatan. Percayalah..."

"Kenapa aku diuji begini,Mai? Kenapa?"

"Kerana Allah sayangkan kau. Dan Dia tahu kau cukup kuat untuk hadapi semua ni. Jangan sesekali salahkan takdir."

"Ye...aku tahu. Aku akan cuba, Mai. Terima kasih sebab dengar masalah aku. Tak sudah-sudah aku bebankan kau."

"Takde susahnya... kau kan kawan aku. Takkanlah aku sanggup biarkan kau sedih. Kau pun selalu tolong aku kan..." Tersenyum Suraya mendengar kata-kata Nurmaisarah. Tenang sikit hatinya. Nurmaisarah memang pandai memujuk dan menasihatinya. Meskipun Suraya lebih tua dua tahun dari Nurmaisarah, namun Nurmaisarah lebih matang dalam menghadapi hidup. Lebih tenang dalam kepayahan.

"Kenapa kau bangun nih? Tak boleh tidur?"

"Hm...macam biasalah. Dah lewat ni. Baik kau tidur dulu, esok kan kerja... lain la macam aku ni,student...haha"

"Banyak la kau punya student! Dah la aku tidur dulu." Suraya berlalu ke biliknya. Tinggal Nurmaisarah merenung ke luar tingkap. Satu keluhan berat dilepaskan. Misi berjaya...bisik hati Nurmaisarah sambil mengukir senyuman dan terus mengatur langkah untuk menjalankan misinya yang tergendala sebentar tadi. Misi untuk menenangkan hati sendiri..

***

Suasana Perpustakaan Sultan Abdul Samad, UPM senyap seperti kebiasaannya, meski para pelajar kian ramai mengulangkaji. Ada yang belajar sendiri, tak kurang yang mengulangkaji dalam kumpulan. Cepat benar masa berjalan, sudah setengah semester Nurmaisarah bergelar mahasiswi di UPM. Belajar di aliran komputer bukanlah minatnya yang sebenar, namun Nurmaisarah pasrah menerima. Salahnya juga tidak memohon bidang yang diminatinya iaitu matematik. Nurmaisarah tidak pernah merasakan susah mampelajari subjek itu. Sejak di bangku sekolah lagi otaknya sentiasa ligat dengan angka. Matematik amat menyeronokan..kadang kala agak susah,namun kesusahan itulah cabaran dan cabaranlah yang menambahkan lagi minatnya pada subjek itu. Namun entah di mana silapnya, Matematik tiada dalam senarai kursus-kursus yang dimohon semasa di matrikulasi. Mungkin ada hikmahnya. Berada di aliran komputer bukanlah sesuatu yang asing buat Nurmaisarah. Abangnya sendiri pelajar aliran berkenaan. Meskipun tanpa minat yang mendalam pada bidang komputer, Nurmaisarah telah jatuh cinta pada salah satu subjek yang wajib di ambilnya iaitu pengaturcaraan komputer. Mungkin kerana banyak menggunakan logik akal, sama dengan matematik, cepat sekali otak Nurmaisarah menangkap setiap pelajaran yang disampaikan oleh pensyarahnya. Sementelah, pensyarah yang mengajarnya sangat baik, walaupun garang namun sedia membantu Nurmaisarah dan rakan-rakan setiap masa. Mengenangkan semua itu, Nurmaisarah tidak lagi bimbang tentang masa depannya kelak, tidak terlintas dibenaknya untuk menukar kursus.


Memasuki minggu kelima semester pertama 03/04, semua pelajar sedang sibuk menghadapi ujian satu. Ada yang sibuk mengulangkaji, tak kurang juga yang masih leka dengan kehidupan masing-masing. Fahrin berjalan keluar dari bangunan kolej kediaman ke-12. Niat hatinya ingin menenangkan fikirannya yang kusut. Saban hari Fahrin mengulangkaji pelajaran. Pelik tetapi benar. Fahrin sudah mula berminat untuk belajar. Tidak seperti zaman persekolahannya dulu. Saban hari dihabiskan dengan melepak, ponteng sekolah. Keputusan peperiksaannya jarang sekali tidak berwarna merah. Pernah satu ketika gurunya sendiri menyatakan Fahrin tidak mungkin akan menjejakkan kaki ke universiti. Namun, ternyata usahanya yang tidak seberapa ketika menduduki peperiksaan SPM dulu membuahkan hasil hingga melayakkan Fahrin ke matrikulasi dan seterusnya menjejakkan kaki ke universiti kini. Sukar dipercayai, namun itulah realitinya. Hidup ini penuh dengan kejutan yang kadang kala di luar jangkaan pemikiran kita. Fahrin bersyukur.

Nurmaisarah...tetiba hati Fahrin terdetik. Mengingati gadis bernama Nurmaisarah, Fahrin tersenyum sendiri. Rakan sekelas yang sering berjaya mencuri pandangan matanya. Entah apa istimewanya Nurmaisarah hingga hati dan fikiran Fahrin tak pernah berhenti memikirkannya. Cantik....memang cantik tetapi ramai yang lebih cantik pernah menjadi tatapan mata Fahrin. Pandai bergaya...tak jugak, Nurmaisarah terlalu bersahaja dalam berpakaian, berbaju kurung hampir setiap hari tanpa secalit mekap di wajahnya. Bijak...tentu saja bijak, kalau tidak masakan layak ke menara gading. Entahlah...tanpa sebab, Fahrin ingin terus bersua gadis itu.

Maisarah awk ktner? dah abih study?

Sms ringkas terus saja dihantar kepada Nurmaisarah.

Assalammulaikum....
sy kat lib. ngah study la nih... xabis2 lg...

Library? Ish...takkan nak pergi library kot. Tak pernah-pernah aku pergi situ.

awk kat lib ngan saper? kiter study sama blh?

Ops...dah terhantar. Entah boleh ke tidak...

sorang jer... dtg la... kat blok A tau.

Yes!!! Fahrin...study la...


bersambung...

penajannah
...takkan berhenti menari!!!

 
penaJannah - Templates para novo blogger