Wangian Kasturi~part 1

Thursday, April 14, 2011

‘Ya Allah, aku kini sendiri. Tiada ayah, tiada ibu. Pada siapa aku ingin mengadu, Ya Allah.’

Muhamad Akmal Hakim merenung rumah usang dan sunyi itu. Rumah yang tiada berpenghuni lagi. Tiada penghuni selain dirinya. Ayahnya telah lama tiada. Sebelum Akmal mampu melihat dunia, dia sudah bergelar yatim. Kini, sudah bergelar yatim piatu. Ibunya pula meninggal akibat kemalangan jalan raya. Langgar lari dan rompakan. Ke mana agaknya hilang keperimanusiaan manusia? Ibunya yang cedera dibiarkan terdampar kesakitan, tiada siapa membantu. Sudahlah begitu, duitnya pula diambil. Akmal menjadi marah dan kecewa pada siapa sahaja yang sanggup melakukan perkara itu pada ibunya. Ibunya gagal diselamatkan kerana cedera di kepalanya terlalu parah. Akmal pasrah dalam kecewa.

“Akmal, pergi ambil pakaian Akmal. Akmal tinggal saja di rumah nenek. Tiada siapa lagi di rumah ini.”

“Nenek pulanglah dulu. Akmal mahu tinggal di sini. Ini rumah Akmal. Ini satu-satunya harta yang ibu tinggalkan untuk Akmal. Akmal ingin terus di sini.”

“Terpulang pada Akmal. Nenek tidak memaksa. Tetapi kalau ada apa-apa yang Akmal perlukan, datang rumah nenek ye.”

Akmal hanya mengangguk. Nenek Salmah, jiran yang paling dekat dengan rumahnya. Nenek Salmah baik orangnya. Begitu juga anak-anaknya, abang Saifuddin dan kakak Fatimah. Mereka berdua juga sepertinya kini, anak yatim piatu.

“Akmal, menangislah kalau Akmal ingin menangis. Menangis sepuas-puasnya. Kakak faham apa yang Akmal rasa. Kehilangan kan? Rasa tak gunanya hidup lagi. Mesti Akmal tertanya-tanya, untuk apa lagi Akmal perlu hidup.” Kata kakak Fatimah ketika di hospital. Akmal tidak mengangguk, tidak juga menggeleng. Hanya pandangannya terpaku pada wajah lembut Fatimah.

“Kakak faham perasaan Akmal. Kakak dan abang Din pernah alami semua ini.”

“Tapi nasib kakak dan abang lebih baik. Kakak masih ada nenek Salmah. Akmal tiada sesiapa lagi.”

“Akmal ada kakak, abang Din dan nenek. Kami kan sudah seperti satu keluarga?”

Akmal diam.

“Akmal, ini adalah ujian untuk Akmal. Tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. Percayalah, Allah tidak akan menguji hamba-Nya diluar kemampuan kita. Allah menguji Akmal kerana Akmal cukup kuat untuk hadapinya. Bila kehilangan orang yang kita sayang, kita kena pasrah, kita kena redha dengan ketentuan-Nya. Setiap orang disekeliling kita adalah pinjaman dari Allah, Dia boleh ambil bila-bila masa yang Dia mahu.”

“Terlalu awal kak. Terlalu awal Allah mengambil ayah dan ibu. Belum sempat Akmal mengenal ayah, ayah sudah pergi. Sekarang, Akmal belum puas rasa kasih ibu, ibu juga telah tiada. Terlalu awal, kak. Akmal tak mampu hidup sendiri.”

“Akmal tak pernah sendiri. Allah sentiasa bersama hamba-Nya yang taat, sabar dan tawakal. Percayalah pada-Nya.”

“Akmal tak mampu, kak.”

“Akmal mampu. Kakak percaya Akmal mampu tempuhi semua ini. Kalau kakak dan abang Din, dan ramai lagi anak yatim piatu di luar sana mampu teruskan hidup, mampu berdikari, kenapa tidak Akmal? Bangkitlah, dik. Hidup perlu diteruskan, walau apapun yang terjadi.”

‘Hidup perlu diteruskan, walau apapun yang terjadi.’ Terngiang-ngiang kata-kata itu, bagai kata-kata keramat yang mampu mengubat luka dihati Akmal. Akmal tekad untuk meneruskan hidupnya. Dia pernah berjanji dengan ibunya untuk menjadi insan yang berjaya. Akmal ingin menjadi ahli perniagaan. Dia ingin mengubah nasibnya yang miskin dan hina. Akmal juga berazam ingin mengubah nasib insan-insan sepertinya. Dia ingin menjadi tangan yang memberi bukan lagi tangan yang menerima.

...bersambung

penaJannah
...takkan berhenti menari!!!

0 comments:

 
penaJannah - Templates para novo blogger