Tuesday, December 21, 2010
Bahagian 1: Warkah Pertama
Assalammualaikum wbt.Kehadapan saudari Nursajidah Humairah, semoga sentiasa tenang disamping keluarga tercinta. Diharap warkah bisu ini tidak mengganggu ketenteraman saudari.Tentu saudari berteka-teki, siapakah saya dan bagaimana saya mendapat alamat saudari. Nama saya Muhamad Sazali bin Muhamad Shahril Anwar, berasal dari Teluk Intan, Perak Darul Ridzuan. Salam perkenalan. Saya mendapat nama dan alamat saudari dari majalah Hidayah keluaran terbaru. Saya merasakan ada keserasian untuk kita menjadi sahabat, meskipun dari jauh. Saya harap saudari sudi menerima saya sebagai kenalan…
Mata Nursajidah terpaku pada warkah pertama yang diterimanya sebaik sahaja pulang dari sekolah. Bait kata yang terukir pada helaian kertas A4 itu bagai menggamit mata Nursajidah untuk terus membacanya hingga ke bait terakhir. 5 helai…10 muka surat. Panjangnya surat, desir hati Nursajidah. Ada segaris senyuman terlakar dibibir mungil milik Nursajidah. Baru Nursajidah teringat, dia pernah menghantar biodata dirinya ke majalah Hidayah. Sekadar ingin mencari kenalan pena dari jauh dan dekat. Muhamad Sazali bin Muhamad Shahril Anwar, tahniah, anda insan pertama yang mengutus surat kepada Nursajidah Humairah binti Aris. Sazali…17 tahun…2 tahun lebih tua dari Nursajidah.
Nursajidah Humairah, pelajar tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Menanti, anak ketiga dari lima beradik ini amat meminati bidang penulisan. Membaca adalah minatnya sejak azali, buku adalah teman karib sejak Nursajidah tahu membaca. Dek kerana minatnya dalam penulisan, Nursajidah ingin mencari kenalan pena. Ingin bertukar pendapat dan pengalaman dengan teman-teman yang jauh di mata. Diikutkan hati, ingin sahaja Nursajidah merantau mencari pengalaman ditempat orang, berada jauh dari keluarga dan kampong halaman. Namun Nursajidah sedar, dirinya masih terlalu mentah untuk hidup berdikari. Nursajidah masih memerlukan asuhan dan didikan kedua orang tuanya. Meskipun ramai teman seusianya menjejakkan kaki ke sekolah berasrama penuh yang jauh dari negeri kelahiran, Nursajidah tidak memiliki cita-cita itu. Untuk Nursajidah, dia belum bersedia, belum kuat untuk hidup sendirian tanpa pantauan dan didikan keluarga. Nursajidah dimanjakan? Tidak sama sekali. Ibunya seorang yang lembut, tetapi tegas dalam mendidik anak-anak. Saban hari, ada saja nasihat dan peringatan berguna dititipkan buat anak-anak tercinta. Sesekali nasihat itu adalah nasihat yang berulang, entah yang keberapa kalinya. Namun Nursajidah tidak jemu mendengarnya. Ibunya, meskipun tidak mendapat pendidikan tinggi, hanya mampu tamat sekolah rendah sahaja, tetapi kata-kata ibunya adalah nasihat yang berguna, bukan leteran atau bebelan tanpa asas.
Sahabat pena. Nursajidah sudah lama memendam keinginan untuk memiliki sahabat pena. Medium bertukar pendapat dan pengalaman. Nursajidah sebagai pelajar tingkatan tiga yang masih mentah, tentu saja Nursajidah kurang pengalaman. Namun Nursajidah gemar memerhatikan sekeliling. Tingkah laku insan disekelilingnya. Lebih tepat lagi, Nursajidah suka belajar dari pengalaman orang lain. Sazali..sahabat penaku yang pertama, bisik hati Nursajidah.
Wa’alaikummussalam wbt.Semoga sihat dibawah payungan rahmat yang Maha Berkuasa. Warkah bisu saudara selamat berlabuh dipangkuan saya. Terima kasih kerana sudi menjadi sahabat pena saya. Salam perkenalan dari Pulau Mutiara…
Warkah bisu memula langkah..
Dalam senyuman terbalas sudah…
penaJannah
...takkan berhenti menari!!!
1 comments:
macam cerita sendiri jer.............
Post a Comment