Istana Lego

Monday, December 27, 2010

L.E.G.O

Lego adalah permainan kegemaranku semasa kecil dahulu. Ia menguji kreativiti ku. Membina kapal terbang, binatang dan bangunan. Aku paling gemar membina bangunan tinggi, setinggi yang mungkin. Imaginasi gadis kecil, sering mengimpikan sebuah istana. Di lembaran kali ini, akan ku ukirkan empat percubaan ku membina istana impian. Coretanku untuk insan yang mahu berfikir.

Binaan Pertama
Aku begitu teruja,pertama kali bapak ku pulang bersama bungkusan lego, meskipun tidak semahal PS3 kalian, tetapi cukup membuat si kecil ini tersenyum girang. Tanpa berlengah, aku terus membina istana impianku. Satu persatu bingkisan lego ku satukan menjadi bangunan tinggi. Aku gembira malah bahagia melihat bangunan itu makin tinggi. Entah mengapa, bangunan itu tidak lagi menggembirakan hatiku. Lantas tanpa berfikir sedalamnya, binaan itu ku runtuhkan dengan satu tolakan sahaja. Melihat binaan itu tidak lagi menjadi binaan, ada sekelumit penyesalan hadir di jiwa. Aku cuba membinanya sekali lagi, namun ia tidak lagi seperti binaan asal. Itulah aku, insan yang gagal menghargai permata di depan mata, gagal menggunakan akal untuk berfikir sebelum bertindak. Aku terima kegagalan itu dan aku jadikan ia sebuah iktibar dalam hidup. Maaf, mata dan hati si kecil ini gagal menilai...

Percubaan Kedua
Masa kian berharga untukku. Langkah kaki ku kian jauh. Ilmu dicari tanpa jemu. Ada tekad dihati untuk mencari impian yang masih kabur. Tanpa dirancang, mata ku tertancap pada bingkisan lego. Aku ingin mencuba kali kedua, cuba membina istana idaman. Bingkisan lego ku semakin banyak, tentu binaan ku lebih kukuh kali ini, bisik hatiku. Tanganku ligat membina istana idaman. Semakin tinggi, semakin indah, semakin cantik, berwarna-warni... Aku gembira, aku bahagia... Namun, kusangka panas mentari hingga ke petang, rupanya hujan menyimbah di tengah hari. Binaan yang kukuh pada zahirnya, rupanya goyah di dalamnya.
Ia runtuh tanpa kuduga. Aku kecewa. Aku hampa. Air mata mengalir tanpa rela. Namun, aku redha. Mungkin binaan itu buruk untukku. Ku tekad meleraikan pelan binaan semalam. Aku percaya ada hikmah disebalik kejadian...

Gelora Ketiga

Ternyata aku tidak mengenal erti putus asa. Degil mungkin. Aku mencari lego yang lebih baik, lebih banyak, lebih kukuh. Aku ingin membina istana yang lebih baik, kukuh, cantik... Dengan kemahiran yang ada, aku mula membina, tanpa sedar binaan itu mengambil masa yang lama. Banyak kali binaan itu hampir runtuh, namun aku tekad membina semula. Ada cacat celanya, aku cuba menampungnya. Setiap kali dilanda badai, runtuhlah ia, aku tetap membina semula. Sangka ku binaan itu semakin kukuh. Sampai satu ketika, ribut datang melanda. Binaan itu cuba bertahan semampunya. Runtuh jua akhirnya. Rupanya kubina ia pada tapak yang lemah, pada tanah yang goyah. Aku pasrah. Sesuatu yang bukan milik ku, selamanya takkan aku miliki. Terus terang aku lelah dan aku rebah. Namun, hidup tak pernah berhenti hanya kerana aku merasa resah.

Langkah Keempat
Dengan harapan yang masih bersisa, entah sebanyak mana, aku cuba membina binaan keempat. Aku tidak lagi mengimpikan istana yang tinggi dan indah. Cukuplah sekadar ia kukuh dan tidak runtuh lagi. Tiba-tiba aku tersedar dari lamunan. Hati ini bertanya pada dinginnya malam, apakah ini yang kuimpikan? Membina istana dari lego? Akan kukuhkah istana itu? Aku tersedar bahawa biar sekukuh mana binaan lego itu, takkan mampu melindungi aku dari panasnya mentari dan dinginnya malam. Binaan keempat kupandang sayu. Lantas kuruntuhkan ia sebelum masa kian menganjak leka. Maaf andai tekadku mengecewakan. Kekecewaan itu tidak mampu menggugah tekadku.

Tiada lagi lego dalam hidupku. Aku sudah lelah bermain lego. Membina binaan yang nampak kukuh pada zahirnya, tetapi goyah di dalamnya. Aku tidak lagi mengimpikan istana tersergam indah kerana itu bukan kunci kebahagiaan dan ketenangan ku. Aku tidak lagi bermain lego kerana yang kuimpikan adalah binaan nyata yang kukuh, dibina di atas tapak keimanan, dibina dengan kayu kayan keikhlasan, di paku dengan kejujuran dan dilindungi oleh bumbung kasih sayang.  Pondok impian itu, meski kusam pada zahir, tetapi teguh di dalamnya. Semoga impian nyataku ini menjadi kenyataan. Bimbing aku Ya Tuhan...
Sekian.

penaJannah
...takkan berhenti menari!!!

1 comments:

Putera Bongsu said...

patut la pandai.. kecik2 main lego.. kita main toi ja :-)

 
penaJannah - Templates para novo blogger