Antara dua kisah~part2

Sunday, February 6, 2011

Al-Khansa bin Amru: Ummu Syuhada



KEILMUAN wanita ini dalam bidang syair terserlah pada zaman Jahiliah dan selepas dia masuk Islam. Dialah al-Khansa’, wanita Arab pertama yang mahir bersyair. Kalangan ahli sejarah sepakat bahawa sejarah tidak pernah mengenal wanita yang lebih mahir bersyair daripada al-Khansa’ sama ada sebelum mahupun sesudah beliau meninggal dunia pada 24 Hijrah di Badiyah, pada zaman awal pemerintahan Othman ibn ‘Affan.
Pada awalnya dia tidak pandai bersyair, dia hanya boleh melantunkan dua atau tiga bait saja. Namun pada zaman Jahiliah, tatkala saudara kandungnya yang bernama Muawiyah bin ‘Amru al-Sulami terbunuh, dia meratapi kematiannya dalam beberapa bait syair. Lalu menyusullah saudaranya yang terbunuh pula, namanya Shakhr.
Al-Khansa’ amat menyintai saudaranya yang satu ini, kerana dia amat penyabar, bersopan santun, dan penuh perhatian terhadap keluarga. Kematiannya menyebabkannya sangat terpukul, lalu muncullah bakat bersyairnya yang selama ini terpendam dan mulai melantunkan bait demi bait meratapi kematian saudaranya. Sejak itulah dia mulai banyak bersyair dan syairnya semakin indah.
Tatkala mendengar dakwah Islam, al-Khansa’ datang bersama kaumnya, Bani Sulaim, menghadap Rasulullah SAW dan menyatakan keislaman mereka. Kalangan ahli sejarah menceritakan pernah satu ketika Rasulullah menyuruhnya melantunkan syair, kemudian kerana kagum kepada keindahan syairnya, baginda mengatakan: “Teruskan, tambah lagi syairnya, wahai Khansa’!”
Ketika Adi bin Hatim datang kepada Rasulullah SAW dia berkata kepada Nabi: ”Wahai Rasulullah, sesungguhnya di tengah-tengah kita ada orang yang paling pandai dalam syair, ada juga orang yang paling dermawan di antara manusia dan juga orang yang paling mahir dalam menunggang kuda." Kemudian Nabi bersabda: “Siapakah nama mereka?” Adi bin Hatim menjawab: “Adapun orang yang paling pandai bersyair adalah al-Qais bin Hajar, sedangkan yang paling dermawan ialah Hatim bin Sa’ad, dan yang paling mahir berkuda adalah Amru bin Ma’di Karib."
Rasulullah SAW bersabda: “Tidak benar apa yang kamu katakan, wahai Adi. Adapun orang yang paling pandai dalam bersyair adalah Khansa’ binti Amru, dan orang yang paling dermawan adalah Muhammad (yakni Muhammad SAW) sedangkan orang yang paling mahir berkuda adalah Ali bin Abu Talib. Dengan keistimewaan ini, sudah dikumpulkan penyair dan ternyata tidak didapatkan seorang wanita yang lebih mahir mengenai syair daripada beliau."
Khansa’ yang nama sebenarnya Tamadur binti ’Amru al-Sulami juga memiliki kedudukan dan prestasi jihad yang tinggi dalam memperjuangkan Islam dan membela kebenaran. Beliau menyertai peperangan bersama Muslimin dan menyertai pasukan mereka yang memperoleh kemenangan.


Dalam sebuah riwayat disebutkan al-Khansa’ dan keempat-empat anaknya ikut serta dalam perang al-Qadisiyyah pada pada 16 Hijrah pada zaman khalifah Umar ibn al-Khattab. Menjelang malam pertama mereka di sana, al-Khansa’ berwasiat kepada mereka: “Wahai anak-anakku, kamu sudah masuk Islam dengan taat dan berhijrah dengan penuh kerelaan. Demi Allah SWT yang tiada Tuhan yang hak selain Dia. Kamu adalah anak daripada lelaki yang satu sebagai mana kamu juga anak daripada perempuan yang satu. Aku tidak pernah mengkhianati ayah kamu, tidak pernah memalukan bapa saudara kamu, tidak pernah memalukan nenek moyang kamu… Kamu semua tahu betapa besar pahala yang Allah SWT siapkan bagi orang yang beriman ketika berjihad melawan orang kafir. Ketahuilah bahawa negeri akhirat yang kekal jauh lebih baik daripada negeri dunia yang fana. Allah Azza wa Jalla berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkan kesabaranmu dan tetapkan persiapan (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.

“Andai kata esok kamu masih diberi kesihatan oleh Allah SWT, maka perangilah musuh kamu dengan gagah berani, mintalah kemenangan atas musuhmu dari Allah SWT. Apabila pertempuran mulai sengit dan api peperangan mulai menyala, terjunlah kamu ke jantung musuh, habiskan pemimpin mereka saat perang tengah berkecamuk, mudah-mudahan kamu meraih pampasan dan kemuliaan di negeri yang kekal dan penuh kenikmatan.” (Surah Ali Imran: 200).
Nasihat ini sudah membakar semangat keempat-empat anak al-Khansa’ dan pada akhirnya kesemua mereka mati syahid dalam peperangan melawan tentera Parsi pimpinan Rastum. Bagaimanapun, peperangan ini dimenangi oleh umat Islam di bawah pimpinan Saad ibn Abi Waqqas.
Sebelum pergi bertempur, mereka bersyair dengan penuh makna dan sangat berkesan. Sebagai contoh, anak kedua berkata: “Ibunda adalah wanita yang hebat dan tabah; pendapatnya sungguh tepat dan bijaksana. Dia perintahkan kita dengan penuh bijaksana; sebagai nasihat yang tulus bagi anaknya. Majulah tanpa hiraukan jumlah mereka dan raihlah kemenangan yang nyata; Atau kematian yang sungguh mulia di jannatul Firdaus yang kekal selamanya.”
Tatkala berita gugurnya keempat-empat anaknya tadi sampai telinga al-Khansa,’ dia hanya tabah sambil mengatakan: “Segala puji bagi Allah SWT yang memuliakanku dengan kematian mereka. Aku berharap kepada-Nya agar mengumpulkanku bersama mereka dalam naungan rahmat-Nya.
Inilah antara kisah seorang ilmuwan wanita pada awal Islam yang mesti dijadikan motivasi bagi golongan wanita dan anak-anak mereka pada hari ini. 


p/s: Terdetik dibenakku, berapa ramai ibu seperti Khansa' pada zaman ini? Masih adakah ibu yang kuat, tabah dan cekal seperti Khansa'? Berapa ramai ibu yang merelakan anak-anaknya ke medan perang, berjihad, berjuang demi Islam yang mulia?

penaJannah
...takkan berhenti menari!!!

0 comments:

 
penaJannah - Templates para novo blogger