Wangian Kasturi part 2

Sunday, June 5, 2011

Waktu berlari laju. Sebulan telah berlalu. Akmal tidak lagi bersedih dengan pemergian ibunya. Akmal ingin menjadi lebih tabah. Meski tanpa ayah dan ibu, Akmal tetap meneruskan persekolahan. Akmal mendapat biasiswa dari pihak sekolah sejak di tingkatan satu lagi. Sementelah, Akmal pelajar pintar yang sering mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Tahun ini, Akmal akan menduduki peperiksaan PMR. Pihak sekolah terutama guru-guru, menaruh harapan yang tinggi padanya. Akmal bersyukur, masih ada insan yang ingin membantu yatim piatu sepertinya.

“Akmal, nenek ingin sampaikan sesuatu, pesanan dari arwah ibu Akmal.” Nenek Salmah tiba-tiba mengunjunginya petang itu.

“Pesanan arwah ibu?”

“Begini. Ibu Akmal pernah bercerita pada nenek tentang keluarganya.”

“Keluarga arwah ibu masih ada? Ibu tak pernah bercerita tentang keluarganya. Akmal sangkakan, ibu juga anak yatim seperti arwah ayah.”

“Ibu Akmal terpisah dari keluarganya setelah bernikah dengan ayah Akmal. Perkahwinan mereka tidak direstui nenek Akmal.”

“Kerana arwah ayah anak yatim piatu? Miskin?”

“Ya, Akmal.”

“Sampai hati mereka membuang ibu, menghina ayah. Berdosakah menjadi yatim piatu? Hina sangat menjadi miskin?”

“Akmal, sabarlah. Perkara itu sudah lama berlalu. Ibu Akmal berpesan supaya mencari keluarga ibu Akmal, iaitu nenek Akmal.”

“Ha?! Tidak nek. Untuk apa Akmal mencari mereka? Mereka tidak pernah mencari Akmal. Tidak pernah tahu kewujudan Akmal. Akmal tak mahu dihina seperti ayah. Akmal kan yatim piatu, miskin pula.”

“Akmal darah daging mereka. Tak mungkin mereka menghina Akmal.”

“Biarlah Akmal fikirkan dulu.”

“Dalam sampul surat ni ada alamat rumah nenek Akmal.” 

*********************************************************************************************************

Akmal terpaku di hadapan rumah banglo dua tingkat. ‘Rumah ke istana ni?’ bisik hati Akmal. Setelah lama berfikir, Akmal akhirnya akur pada pesanan terakhir ibunya. Sampul surat yang diberi nenek Salmah mengandungi alamat dan sekeping gambar keluarga yang besar. Ibunya berada paling dekat dengan wanita tua. ‘Mungkin itulah neneknya.’


“Ibu Akmal anak bongsu daripada tiga beradik. Akmal ada seorang ibu saudara dan seorang bapa saudara. Kedua-duanya telah berkahwin dengan pilihan nenek Akmal. Hanya ibu Akmal yang tidak mendengar kata, memilih untuk berkahwin dengan ayah Akmal.” Akmal meneliti gambar digenggamannya. Satu demi satu wajah direnungnya. ‘Ini keluargaku. Ibu, adakah mereka akan menerima Akmal?’

“Ye. Anak cari siapa?” Lelaki, mungkin sebaya ayahnya, berpakaian seragam pengawal keselamatan. Wajahnya garang, namun tutur katanya tetap lembut.

“Ini rumah Puan Salbiah kan? Saya nak jumpa Puan Salbiah.”

“Anak ni siapa?”

“Saya cucu dia, anak Suhanah, anak bongsu Puan Salbiah.”

“Anak Hanah dengan Hakim? Subhanallah…”

“Pak cik kenal mak dan ayah?”

“Kenal sangat. Apa nama anak ni?”

“Akmal. Muhamad Akmal Hakim.”

bersambung...

penaJannah
...takkan berhenti menari!!!


Wangian Kasturi part 1

0 comments:

 
penaJannah - Templates para novo blogger