Lelaki pertama

Sunday, October 10, 2010

Kau lelaki pertama 
kujumpa pada permulaan langkahku
lelaki yang mengajar aku erti cinta
kasih dan sayang sesama manusia
di dunia sementara.

Cinta pertama, kata kau,
pada Sang Pencipta
cinta sepenuh jiwa,
iman namanya,
kau mengajar aku mengenal Dia
aku yang tidak tahu
menjadi mahu terus mengenali Dia
selayaknya seorang hamba
akur pada perintah-Nya.

Cinta kedua,
pada kedua orang tuaku,
bonda yang melahirkan,
ayahanda yang lelah membesarkan,
kau mengajar aku menghormati dan menyayangi
mereka yang berjasa dalam hidupku
sama seperti kasihku padamu.

Kau lelaki pertama mencintaiku
setulus jiwa
seikhlas hatimu
saban waktu
senyummu bak mentari dalam hatiku
ketawamu bagai pelangi
dikala aku dirundung kesedihan
kepayahan dan kekecewaan
kau bersuara,
sabarlah, itu kunci bahagiamu.

Aku juga menyayangimu
meski sesekali amarahmu berapi
garangmu, kalah naga Tasik Chini
buat aku diam kelu
tertunduk kaku
namun limpahan kasihku
tak pernah kurang
walau seinci.

Putaran masa tak pernah berhenti
laju meninggalkan indahnya memori
garis usia pada wajahmu mula terserlah
dan diriku kian jauh melangkah
tanpa rela ku tinggalkan kau disini
impianku melambai dari kejauhan
kuturuti jua kehendak rasa
yang dahaga ilmu Tuhan yang Esa
aku ingat pesananmu,
ilmu itu tinggi nilainya
mencarinya adalah jihad
lama baru kufaham ertinya.

Satu persatu 
nikmat Allah ditarik dari dirimu
kau tak berdaya lagi melangkah gagah
namun kau tetap pahlawan dimata ku
gagah dalam payah
bersyukur dalam resah
redha dengan segala ujian-Nya,
dan saat bumi memisahkan kita
jasadmu kaku tanpa nyawa
maaf aku tiada di sisi
pemergianmu kutangisi.

Mereka bertanya,
bila kau pergi?
aku termenung, lama
kerna dalam hatiku kau sentiasa ada
mataku menyoroti wajah-wajah kesayanganku
terbias iras wajahmu.

Kutitip doa bersulam rindu tiada tara
moga kau lebih bahagia di sana
terima kasih kerana menjadi lelaki pertama
yang mengajar aku erti cinta.

p/s: dia yang dimaksudkan adalah arwah tok wanku.=)
penaJannah
...takkan berhenti menari!!!

1 comments:

Anonymous said...

indah dan menarik

 
penaJannah - Templates para novo blogger