Pelayaranku ep5

Thursday, September 2, 2010

Pelayaranku ep5


Kicauan burung bersahutan, bertebaran terbang di dada langit, memulakan hari yang indah dengan memuji Tuhan yang mencipta langit dan bumi. Putera Ali merenung jauh ke langit yang bakal disirami cahaya mentari. Suasana selepas subuh yang hening mengundang rasa sayu di hati Putera Ali. Ingatan Putera melayang kepada almarhum ayahanda tercinta. ‘Apa khabar ayahanda di sana? Amankah? Atau meranakah?’ bisik hati Putera Ali. Tanpa sedar air mata Putera Ali menitis untuk kesekian kalinya.


“Assalammulaikum ayahanda…”


“Oh, Putera kesayangan ayahanda rupanya. Ke mari anakanda. Perihal apa yang membawa anakanda ke istana ayahanda?” jawab Sultan Khalid.


“Anakanda tidak menggangu? Kelihatannya, ayahanda sedang sibuk menguruskan sesuatu.”

“Tidak anakanda. Anakanda tidak mengganggu. Ayahanda sedang menulis surat balasan kepada Sultan Aminuddin. Sebentar tadi utusan Sultan Aminuddin tiba bersama surat baginda. ”

“Apa isi surat Sultan Aminuddin, ayahanda?”

“Ini suratnya. Anakanda bacalah sendiri.”

Assalammualaikum sahabat yang dihormati, Sultan Khalid al Walid. Kita kirimkan sekalung doa, semoga sahabat dan Negara Menora sejahtera di bawah lindungan Tuhan yang mana kaya.

Sahabatku, kita mendapat aduan dari pedagang yang singgah berdagang di Menora. Khabarnya keadaan Menora semakin kacau bilau angkara lanun durjana. Tidakkah kerajaan Menora mengambil apa-apa tindakan untuk menghalang kemaraan lanun-lanun itu? Jika sahabat memerlukan bantuan, khabarkan saja kepada kita, seberapa segera akan kita hantar bantuan ke Menora. Satu lagi aduan yang kita terima mengenai cukai dagangan yang dikenakan ke atas pedagang-pedagang luar yang ingin berdagang di Menora. Khabarnya cukai berkenaan terlalu tinggi dan membebankan para pedagang. Pada hemat kita, elok dikurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar. Semoga dengan cara itu, semakin ramai pedagang datang berdagang di Menora. Ingatlah sahabatku, pemerintah umpama seorang ayah dan rakyat jelata adalah anak-anaknya. Tugas seorang ayah memastikan anak-anaknya tidak susah, cukup makan pakai serta tidak ditindas. Sekian sahaja.
Sahabatmu,
Sultan Aminuddin Shah
Sriandalas.


“Ayahanda, anakanda bersetuju dengan saranan Sultan Aminuddin. Cukai dagangan yang kita kenakan terlalu tinggi. Ramai pedagang tidak mahu lagi berdagang di Menora. Tiada salahnya kita kurangkan sedikit cukai tersebut. ”

“Anakanda, anakanda. Pedagang-pedagang yang datang bukannya dari golongan yang papa kedana. Semuanya pedagang yang kaya. Masakan membayar cukai lebih sedikit tidak mampu ”

“Bukan semua pedagang mampu membayarnya, ayahanda.”

“Jika tidak mampu membayar, senang saja, tidak perlulah berdagang di sini. Banyak lagi tempat dagangan yang cukainya mampu mereka bayar. Memang sengaja ayahanda naikkan cukai itu supaya hanya pedagang kaya saja singgah di sini.”

“Tetapi ayahanda, pedagang yang singgah semakin berkurangan. Tidakkah merugikan kita?”

“Tidak, anakanda. Hasil yang kita perolehi tetap sama, malah makin bertambah. ”

“Barang dagangan juga semakin mahal. Tidakkah membebankan rakyat Menora juga?”

“Setakat ini tiada aduan yang ayahanda terima dari rakyat mengenai hal itu. Usahlah anakanda bimbang.”

“Ayahanda, tentang lanun-lanun yang bermaharajalela di perairan kita. Sampai bila ayahanda hendak bersengkongkol dengan mereka? Lanun-lanun itu bertindak sesuka hati ke atas rakyat kita ayahanda. Tidakkah keadaan ini menggugat keamanan Menora?”

“Anakanda, anakanda. Ayahanda bekerjasama dengan lanun-lanun itu untuk keselamatan Negara juga. Lupakah anakanda, siapa yang menghapuskan kumpulan pemberontak yang cuba merampas kuasa Menora dari tangan ayahanda? Ayahanda terhutang budi dengan ketua kumpulan lanun itu. Tambahan lagi, ketua lanun sering menghadiahkan wang, emas dan banyak lagi barang berharga yang Berjaya mereka rampas. Kegiatan mereka sedikit pun tidak menggugat kerajaan kita.”

“Anakanda risaukan keselamatan rakyat kita, ayahanda. Lanun-lanun itu sering membuat onar pada gadis-gadis kampong dan membunuh siapa saja yang cuba melawan. Mereka merampas harta rakyat sesuka hati. Jika keadaan ini berterusan, rakyat akan menderita.”

“Kenapa keadaan rakyat yang anakanda bimbangkan? Bukankah rakyat sememang harus taat setia pada raja, bukan sebaliknya.”

“Ayahanda…”

“Sudahlah anakanda. Ayahanda yang mentadbir Menora. Anakanda usah masuk campur urusan pentadbiran.”

“Apa yang ayahanda katakan pada Sultan Aminuddin Shah?”

“Ayahanda menafikan semua aduan pedagang itu. Sultan Aminuddin pasti percaya pada ayahanda kerana kami sudah lama bersahabat.”

“Sultan Aminuddin seorang yang bijaksana, ayahanda. Satu hari baginda tentu dapat tahu perkara sebenar. Anakanda minta diri. Assalammualaikum…”

Putera Ali mengeluh kesah. Setiap kali terkenangkan almarhum Sultan Khalid, hati Putera Ali sakit. Sultan Khalid seorang ayah yang penyayang. Baginda amat menyayangi Putera Ali dan Puteri Zainab. Keduanya ditatang bagai minyak yang penuh. Namun baginda seorang raja yang kejam, sering menindas rakyat jelata. Sudah banyak harta rakyat dirampas secara paksa. Cukai yang dikenakan kepada petani dan pedagang terlalu tinggi sedangkan hasil dagangan dan pertanian tidak seberapa. Putera Ali tidak senang dengan tindakan ayahandanya. Sudah berulang kali Putera Ali menasihati ayahandanya supaya bertaubat, tetapi langsung tidak diendahkan. Kini Sultan Khalid sudah tiada, Putera Ali sering menangis mengenangkan bagaimana agaknya nasib ayahanda di alam kubur. Sebagai anak, Putera Ali tidak putus-putus mengirimkan doa buat ayahanda tercinta. Hanya itu yang mampu Putera Ali lakukan.

“Assalammualaikum, Putera Ali.” Sapa Puteri Humairah, mengejutkan Putera Ali dari lamunan.

“Wa’alaikummussalam, Puteri dan juga Melor. Bagaimana semalaman di Menora? Lena tidur ditempat orang?”

“Alhamdulillah, Putera. Apa rancangan kita hari ini?”

“Hari Jumaat adalah hari melawat rakyat. Setiap kali Jumaat, kita dan pembesar istana akan turun menemui rakyat. Meninjau keadaan rakyat yang sebenarnya dan kita turut menunaikan solat Jumaat bersama rakyat. Jadi, kita amat berbesar hati jika Puteri sudi turut serta.”

“Sudah tentu Putera. Kita juga teringin mendekati rakyat Menora.”

“Jika begitu, eloklah Puteri bersiap sedia. Insya Allah, kita akan bertolak sebentar lagi.”

“Oh ya. Siapa yang akan Putera perkenalkan pada kita nanti?” Puteri Humairah teringat perbualannya dengan Putera Ali semasa menyambut ketibaannya semalam.

“Ayah angkat kita, Puteri mengenalinya. Ayah melonjak gembira bila dapat berita Puteri akan melawat Menora. Ayah ingin benar menemui Puteri.”

“Siapa ayah angkat putera itu? Kita mengenalinya?”

“Sabar Puteri. Nanti Puteri akan tahu sendiri. Kita minta diri dulu. Ingin memeriksa persiapan para pembesar.”

“Silakan putera…”

‘Siapa agaknya ayah angkat Putera Ali itu? Kita mengenalinya?’ Ikuti sambungannya...


 
penaJannah
…takkan berhenti menari!!!

3 comments:

Anonymous said...

panjangnya...

rasanya tak dak lagi nama sultan Aminuddin.. dalam sejarah ada ka? mcm tak sesuai ja.. kena cari nama yang lagi lama.. Aminuddin nama area merdeka dan ke atas kot..

-Aminudin-

jannah said...

sedara...ini bukan cerita sejarah. saya memang sengaja letak nama tu.

Anonymous said...

baiklah..

 
penaJannah - Templates para novo blogger