Jom Belajar Sejarah!!!

Wednesday, September 22, 2010


Abdul Latip Talib atau lebih dikenali sebagai Pak Latip, nama yang tidak asing lagi dalam arena penulisan novel sejarah di Malaysia, sehingga diiktiraf sebagai Penulis Novel Sejarah No. 1 Malaysia. Umar Abdul Aziz, Bayangan Khalifah al Rasyidin telah diterbitkan sebanyak dua kali pada tahun 2010. Novel sejarah yang mengandungi 28 bab ini menceritakan tentang Umar Abdul Aziz dan mengapa beliau dianggap sebagai bayangan Khalifah al Rasyidin.

Sinopsis Buku:
Semasa hidupnya, Khalifah Umar al Khattab selalu berdoa. “Wahai Tuhanku, kurniakan aku zuriat yang menguatkan Islam.”

Doa Khalifah Umar al Khattab termakbul dengan lahirnya Umar bin Abdul Aziz atau nama sebenarnya Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakan bin Ash bin Umaiyah bin Abdi Syams. Ibunya bernama Laila Ummu Asyim binti Asyim bin Umaral Khattab, khalifah al Rasyidin yang kedua.
Beliau lahir pada tahun 63 hijrah/684 masihi di Kota Madinah ketika tentera Yazid bin Muawiyah dari Damsyik menyerang kota suci tersebut.

Selepas menjadi khalifah, Umar Abdul Aziz yang terkenal dengan keadilannya telah menjadikan keadilan sebagai keutamaan pemerintahannya. Beliau mahu semua rakyat dilayan sama adil tidak mengira keturunan dan pangkat supaya keadilan dapat berjalan dengan sempurna. Keadilan yang beliau perjuangkan menyamai keadilan pada zaman datuknya, Khalifah Umar al Khattab yang sememangnya dinanti-nantikan oleh rakyat yang selalu ditindas oleh pembesar yang angkuh dan zalim.

Umar Abdul Aziz sebagai khalifah:

•    Beliau seorang yang mentaati perintah Allah SWT dan berusaha keras menjauhi laranganNya. Mendirikan solat merupakan nasihat/perintah beliau kepada semua rakyat terutama kepada pembesar dan tentera Islam. Daripada Zaid bin Aslam menceritakan yang Anas bin Malik berkata, “Aku tidak pernah menjadi makmum di belakang imam selepas wafatnya Rasulullah yang mana solat imam itu menyamai solat Rasullulah, melainkan daripada Umar bin Abdul Aziz dan beliau pada masa itu adalah Gabenor Madinah.”
•    Beliau seorang pemerintah yang amanah. Beliau tidak pernah menggunakan harta baitulmal untuk kegunaan peribadi serta menegah sekerasnya ahli keluarga beliau mengambil harta baitulmal hatta sebiji epal sekali pun. Beliau juga telah memulangkan semua tanah yang dirampas oleh pemerintah sebelumnya kepada pemilik asal tanah berkenaan atau kepada baitulmal.
•    Keadilan merupakan keutamaan dalam pemerintahan beliau. Beliau adil dalam pembahagian harta baitulmal, memulangkan tanah atau harta yang dirampas, memecat pegawai yang tidak amanah dan kejam terhadap rakyat. Keadilan beliau tidak terbatas pada rakyat yang beragama Islam sahaja tetapi jua kepada bukan Islam di bawah pentadbiran beliau.
•    Beliau sangat menghormati para ulama. Beliau sering meminta pendapat dan nasihat para ulama tentang pentadbiran negara.
•    Beliau seorang pemerintah yang tegas. Beliau telah memecat ahli keluarga Bani Umaiyah yang tidak adil dalam pentadbiran. Memulangkan harta yang telah dirampas kepada rakyat yang dianiaya. Tindakan beliau mengundang rasa tidak senang di kalangan ahli keluarga Bani Umaiyah sendiri.

Sumbangan Umar Abdul Aziz:
•    Beliau telah membasmi amalan bidaah yang berleluasa ketika itu, iaitu amalan mengutuk ahli keluarga Rasulullah(Ali bin Abi Talib)
•    Beliau telah mengarahkan pengumpulan hadis Rasullulah.
•    Beliau menggalakkan penyebaran ilmu dikalangan negara Islam dengan mengarahkan buku-buku diterjemahkan ke Bahasa Arab.

Sepanjang melusuri kisah mu tuan,
hati ini tidak berhenti bersyukur,
hadirnya kau, pemimpin yang adil,
umpama permata yang dicari,
kerna mencari insan seperti tuan,
lebih payah dari mencari mutiara putih di dasar lautan,
kami rindu pada keadilan,
kami dambakan keamanan,
sungguh kami benci melihat kemungkaran,
meluat melihat kemaksiatan,
kekejaman tanpa sempadan,
hatiku tertanya sendiri,
apakah ada insan seperti tuan lagi?
andai ada, hadirkan dia di sisi kami,
membela yang lemah,
hapuskan yang mungkar,
menguatkan Islam yang kian terdampar...

penaJannah
...takkan berhenti menari!!!

3 comments:

Anonymous said...

baru beli ka buku ni adik Jannah? berapa harga?

jannah said...

dah beli dan baca sebelum raya lagi. baru sekarang ada masa untuk post kat blog.
sila rujuk link ini:
http://pts.com.my/index.php/buku/umar-abdul-aziz-bayangan-khalifah-al-rasyidin/

Anonymous said...

makasih wahai adik..

 
penaJannah - Templates para novo blogger